Kepimpinan baharu KOM perlu elak politikus dalam persatuan

Barisan kuartet 4x100 meter lelaki negara yang berjaya meraih pingat perak serta memecahkan rekod kebangsaan pada Sukan SEA ke-31, di My Dinh National Stadium, Hanoi. Gambar kecil: Pekan
Barisan kuartet 4x100 meter lelaki negara yang berjaya meraih pingat perak serta memecahkan rekod kebangsaan pada Sukan SEA ke-31, di My Dinh National Stadium, Hanoi. Gambar kecil: Pekan
A
A
A

AHLI gabungan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bakal memilih pucuk kepimpinan baharu, sempena mesyuarat agung tahunannya pada Ahad.

Penyandang Presiden, Datuk SM Muthu bakal dicabar bekas presiden merangkap Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim manakala seorang lagi calon Nur Hayati Karim dilaporkan mahu menarik diri.

Muthu yang dipilih sebagai presiden bagi penggal 2019-2022 selepas berjaya menewaskan ‘gurunya’ Karim Ibrahim yang merupakan penyandang kerusi presiden ketika itu.

Shahidan juga bukan asing dalam arena olahraga apabila pernah memegang jawatan berkenaan dari 2006 hingga 2012, namun tewas kepada Datuk Zainal Abidin Ahmad ketika pemilihan bagi penggal 2013-2015.

Bagi pemerhati sukan tempatan, Dr Pekan Ramli, barisan kepimpinan KOM yang bakal dipilih harus mengelakkan politikus dalam persatuan dan kepentingan diri dengan pembangunan olahraga menjadi keutamaan.

"KOM perlu melakukan transformasi secara besar-besaran untuk mengembalikan kegemilangan negara pada acara trek dan padang di peringkat Asia Tenggara dan Asia.

"KOM harus fokus untuk melahirkan atlet-atlet yang hebat, dengan memulakan pembangunan di peringkat akar umbi,” katanya.

Walaupun berjaya mencapai sasaran pingat emas di Sukan SEA Hanoi 2021 baru-baru ini, ia bukanlah pencapaian yang boleh dibanggakan berbanding jumlah keseluruhan 47 pingat emas yang ditawarkan.

Tanpa mengira individu mana yang bakal membentuk kepimpinan KOM pada AGM itu agenda pembangunan sukan olahraga dan kemajuan sukan itu harus menjadi kepentingan utama. - Bernama