Koperasi juga digalak terlibat projek tanam sayur

Saarani (tiga dari kanan) menyampaikan anugerah koperasi terbaik bagi kategori sekolah kepada Koperasi Maktab Rendah Sains Mara Parit Berhad sempena Hari Koperasi Negara peringkat negeri Perak 2022 di sini pada Sabtu.
Saarani (tiga dari kanan) menyampaikan anugerah koperasi terbaik bagi kategori sekolah kepada Koperasi Maktab Rendah Sains Mara Parit Berhad sempena Hari Koperasi Negara peringkat negeri Perak 2022 di sini pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memberi galakan kepada koperasi-koperasi di negeri ini untuk melibatkan diri dalam sektor pertanian bagi mengatasi kekurangan bekalan makanan seperti sayuran dan ternakan.

Beliau berkata, langkah itu tidak mustahil dijayakan kerana sebahagian besar koperasi sudahpun memiliki perniagaan yang maju selain kawasan yang sesuai untuk dijadikan pembangunan pertanian.

"Jadi tidaklah menjadi perkara mustahil jika ada mana-mana koperasi berkemampuan untuk cebur diri terutama yang ada tanah sendiri kerana sebenarnya pertanian juga adalah satu perniagaan.

"Kalau ada koperasi-koperasi yang mempunyai kemampuan tanah sendiri, modal sendiri dan ada kepakaran, maka mengapa tidak kita ambil idea itu untuk dilaksanakan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Koperasi Negara peringkat negeri Perak 2022 sempena sambutan 100 tahun gerakan koperasi di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad.

Saarani berkata, dalam hal itu, koperasi yang mempunyai rangkaian luas juga boleh bertindak sebagai ejen pemasar membantu memasarkan hasil pertanian diusahakan kalangan ahli terutama dalam skala besar.

"Koperasi juga boleh menyusun atur ahlinya untuk bertanam, mungkin hujung sana tanam sawit, hujung sini tanam bayam, bendi dan sebagainya dan koperasi itu sendiri menjadi pemasar.

"Perlu dibuat secara tersusunlah agar tidak menjadi lambakan pula hasil pertanian itu," katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya Saarani berkata, jumlah keanggotaan gerakan koperasi di Perak yang dicatatkan kini sudah melebihi 360,000 orang melibatkan 1,650 gerakan koperasi berdaftar.

Katanya, jumlah itu satu angka yang besar dan mampu mewujudkan satu rangkaian perniagaan yang kukuh dan mampan.

"Sebab itulah saya mempunyai keyakinan bahawa koperasi mampu memainkan peranan yang efektif bagi merangsang pembangunan keusahawanan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

"Konsep koperasi yang berpaksikan prinsip keterangkuman dengan mencipta keuntungan melalui aktiviti milikan bersama, adalah bersesuaian untuk diaplikasikan dalam situasi ekonomi pada masa ini," katanya.

Beliau berkata, pada tahun ini sahaja, Suruhanjaya Koperasi Malaysia telah menyalurkan RM10.1 juta Pembiayaan Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMP-SKM) dan RM 1.184 juta geran bantuan pembangunan kepada 19 koperasi di seluruh Perak.

"Manakala SME Corp Perak pula telah meluluskan sebanyak RM5.26 juta bantuan pada tahun 2021 untuk tujuh program di bawahnya bagi membantu peniaga PKS (perusahaan kecil dan sederhana) mengembangkan perniagaan mereka," katanya.

Dalam majlis itu, Saarani turut menyampaikan anugerah koperasi terbaik bagi lapan kategori iaitu sekolah negeri Perak yang dimenangi Koperasi Maktab Rendah Sains Mara Parit Berhad; kategori perkhidmatan kewangan, Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad; kategori perladangan, Koperasi Perladangan Kawasan Bagan Datok Berhad; kategori pemborongan dan peruncitan, Koperasi Orang Melayu Kerajaan (SKOMK) Perak Berhad.

Turut disampaikan, tokoh guru koperasi kepada Sahuri Musa sebagai Pengerusi Koperasi Maktab Rendah Sains Mara Parit Berhad; penerima anugerah tokoh koperasi, Kassim Muhamad yang merupakan Pengerusi Koperasi Orang Melayu Kerajaan (SKOMK) Perak Berhad serta Koperasi Peserta-peserta Rancangan Felcra Seberang Perak Berhad yang dinobatkan sebagai penerima anugerah koperasi terbaik dan anugerah koperasi terbaik bagi kategori pertanian dan industri asas tani.