Nature Lifeguard pertama di Taman Negara

Sh Mohamed(empat dari kanan) bersama Che Adam(kiri) dengan anggota dan pakaian Nature Lifeguard yang digunakan pasukan terbabit.
Sh Mohamed(empat dari kanan) bersama Che Adam(kiri) dengan anggota dan pakaian Nature Lifeguard yang digunakan pasukan terbabit.
A
A
A

JERANTUT - Taman Negara, Kuala Tahan di sini menjadi perintis kewujudan pasukan penyelamat yang dikenali 'Nature Lifeguard' yang pertama di negara ini sekali gus meningkatkan nilai tambah di lokasi pelancongan terkenal dunia itu.

Timbalan Pengerusi Tourism Pahang, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali berkata, kewujudan pasukan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu meningkatkan keyakinan pelancong terhadap aspek keselamatan di lokasi terbabit.

Menurutnya, usaha terbaik APM Pahang itu merintis jalan bagi Nature Lifeguard diwujudkan di tempat-tempat lain di negara ini.

"Pasukan ini penting kerana pelancongan di kawasan ini berkait rapat dengan pergerakan di hutan, sungai dan juga pergerakan bot serta sampan,.

"Jadi ini memungkinkan sebarang musibah memerlukan pasukan yang mampu memberi bantuan segera," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Nature Lifeguard di Jeti Kuala Tahan pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman dan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan APM, Yoon Boon Chew dan Setiausaha Agung, Malaysia Consultative Council of Islamic Organization(MAPIM), Zulhanis Zainol.

Pada majlis tersebut, APM turut menerima sebuah bot berserta enjin daripada MAPIM bagi kegunaan pasukan penyelamat itu di Kuala Tahan.

Sementara itu, Che Adam memberitahu, penubuhan pasukan Nature Lifeguard ini disertai 30 anggota yang telah dilatih dan dilengkapkan dengan peralatan menyelamat.

Tambahnya, keselamatan pelancong amat dititikberatkan oleh semua pihak berwajib dan kewujudan pasukan terbabit akan memberi kesan yang positif serta keyakinan kepada pelancong.

Ujarnya, jika berlaku sebarang kecemasan, tindakan pantas membantu dan menyelamat dapat dilakukan petugas sekali gus pengurangan masa untuk tindak balas kecemasan dapat ditingkatkan dan risiko kecederaan atau bahaya kepada mangsa dapat dikurangkan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan anggota terlibat turut dilengkapi dengan kemahiran asas seperti pertolongan cemas, asas renang, menyelamat di air, operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta pengendalian bot.

"Pasukan ini terdiri daripada penduduk tempatan yang merupakan anggota sukarela Pertahanan Awam selain anggota yang terdiri daripada Orang Asli suku Bateq di sini," ujarnya.

Jelasnya, kewujudan pasukan terbabit akan diperluaskan di lokasi-lokasi lain selepas ini.

"Insya ALLAH, kita akan perluaskan ke lokasi lain nanti, setakat ini kita ada pasukan penyelamat pantai di Teluk Cempedak, Batu Hitam, Pulau Tioman dan tidak lama lagi di Pantai Hiburan, Kuala Rompin," katanya.