Penemuan penyu: Jabatan perikanan disaran guna talian 999, WhatsApp

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) disaran agar mempertimbangkan penggunaan aplikasi WhatsApp atau talian kecemasan 999 untuk memudahkan penyaluran maklumat berkaitan penemuan penyu di negara ini.

Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Mohd Uzair Rusli berkata penggunaan aplikasi dan nombor kecemasan itu dilihat lebih praktikal untuk digunakan orang awam berbanding talian telefon rasmi yang digunakan DOF ketika ini.

Beliau berkata, bukan semua orang awam jelas bahawa penyu terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Perikanan dan setiap penemuan sama ada mati atau hidup perlu dilaporkan kepada jabatan itu.

"Banyak penemuan penyu hanya dimuat naik dalam media sosial sahaja dan selepas itu, barulah ada tindakan susulan untuk menguruskan penyu tersebut yang kebiasaannya mengambil tempoh masa agak lama.

"Jika penyu yang ditemukan orang awam itu masih hidup, setiap detik masa amat berharga dan mampu menyelamatkan nyawa haiwan terancam tersebut," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Saranan itu dikemukakan Mohd Uzair susulan penemuan tiga bangkai penyu agar dewasa di tiga lokasi berasingan sekitar daerah Kuala Nerus semalam iaitu di Seberang Takir, Pengkalan Maras dan Pulau Redang.

Tambahnya, DOF juga boleh bekerjasama dengan pelbagai agensi penyelamat seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk penyaluran maklumat menerusi talian kecemasan 999 itu.

"Ini bermaksud setiap penemuan penyu, orang awam boleh hubungi talian 999 dan maklumat lebih terperinci pula akan dimaklumkan kepada DOF untuk tindakan lanjut.

"Aplikasi WhatsApp juga boleh digunakan untuk orang awam menghantar gambar, video dan lokasi penemuan penyu dengan lebih pantas dan tepat untuk tindakan menyelamat," katanya. - Bernama