'Itu bukan kerja melombong lantanid'

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menafikan sudah memberi 'lampu hijau' kepada aktiviti perlombongan mineral nadir bumi, lantanid di kawasan Gerik daerah Hulu Perak sepertimana didakwa sesetengah pihak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerja-kerja melombong di kawasan itu belum dimulakan kerana masih dalam peringkat permohonan kebenaran dan kelulusan pihak berkuasa.

Menurutnya, meksipun surat kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) telah diperolehi, masih terdapat beberapa prosedur operasi standard (SOP) lain yang perlu dipatuhi termasuk Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Penilaian Impak Sosial (SIA) untuk mendapatkan kebenaran merancang.

"Selepas kita dapat EIA, sekarang ini kita di peringkat mohon kebenaran merancang daripada Majlis Daerah Gerik, apabila dikeluarkan nanti (kebenaran merancang), barulah boleh masuk.

"Kerja (prosedur) masih banyak lagi. Apa juga yang mahu kita lakukan di situ, kita perlulah patuh kepada SOP ditetapkan, barulah (kerja melombong) itu boleh diteruskan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Koperasi Negara peringkat negeri Perak 2022 sempena sambutan 100 tahun gerakan koperasi di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad.

Saarani berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa kerja melombong mineral baharu di kawasan itu telah dimulakan susulan paparan imej satelit yang dikongsi menunjukkan terdapat bukti operasi perlombongan sedang dijalankan di tapak tersebut.

Beliau berkata, imej yang dipaparkan melalui satelit itu adalah struktur lama yang melibatkan kerja-kerja awalan seperti membuat jalan dan tadahan kolam untuk bijih timah.

Katanya, kerja awalan terbabit telah lama dilaksanakan sebelum lantikan beliau sebagai menteri besar dan dihentikan pada Januari tahun lepas berikutan penemuan mineral baharu, lantanid.

"Struktur itu untuk projek terdahulu lah di mana ada bijih timah.

"Walaupun dah ada struktur yang dimulakan, kita tetap hentikan sampai kita dapat SOP yang diluluskan Kabinet dan kebenaran daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, baru kita buka balik," katanya.

Pada 23 Mei lalu, Saarani mengesahkan penemuan mineral baharu iaitu lantanid di kawasan Hulu Perak yang diperoleh ketika kerja-kerja mengekstrak bijih timah di kawasan tersebut yang dikenal pasti cukup bernilai.