Bapa saudara tidak sangka pertemuan dua hari lepas kali terakhir

Empat maut, seorang parah dalam kemalangan melibatkan dua buah Proton Wira di NKVE awal pagi Sabtu. - Foto Bomba
Empat maut, seorang parah dalam kemalangan melibatkan dua buah Proton Wira di NKVE awal pagi Sabtu. - Foto Bomba
A
A
A

SHAH ALAM - Bapa saudara kepada salah seorang mangsa kemalangan di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) awal pagi tadi tidak menyangka pertemuan dengan anak saudaranya dua hari lepas adalah pertemuan mereka yang terakhir.

B. Nadarajan, 55, berkata, anak saudaranya P Puvaaneshwaran, 28, berkunjung ke rumahnya di Kajang dan ketika itu beliau dalam keadaan baik serta sihat seperti biasa.

"Tiba-tiba dalam 10 pagi tadi kami dapat panggilan daripada kakak saya yang juga ibu kepada Puvaaneshwaran bahawa dia sudah meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya,” katanya yang kelihatan hiba ketika ditemui Bernama di Hospital Shah Alam, pada Sabtu.

Nadarajan berkata, lebih memilukan ialah anak saudaranya itu baru sahaja mendapat pekerjaan tetap sebagai jurutera perisian sebuah syarikat komunikasi setelah sekian lama bekerja secara kontrak.

Katanya lagi, buat masa ini beliau diamanahkan untuk menguruskan segala proses pengebumian anak saudaranya kerana kakaknya tinggal di Johor.

Empat termasuk dua wanita maut, manakala seorang lelaki cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta di susur keluar arah Subang menghala Kelana Jaya di Lebuh NKVE, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya mengenal pasti mangsa yang maut sebagai P. Puvaaneshwaran, 28; Lai Mun Fai, 28; Eng Siew Hooi, 31 dan Leong i Man Yuen, 27, manakala mangsa yang parah dikenali sebagai Heng Chan Yee, 28.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kesemua mayat dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama