Kementerian Pendidikan siapkan kertas kerja tingkat internet sekolah

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin meluangkan masa mencuba permainan robot bersama beberapa pelajar selepas melancarkan Felda Digital Maker Hub Coding & Robotic di Sekolah Kebangsaan Sahabat 4, pada Sabtu. Hadir sama, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Tan Sri Idris Jusoh (dua, kiri). - Foto Bernama
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin meluangkan masa mencuba permainan robot bersama beberapa pelajar selepas melancarkan Felda Digital Maker Hub Coding & Robotic di Sekolah Kebangsaan Sahabat 4, pada Sabtu. Hadir sama, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Tan Sri Idris Jusoh (dua, kiri). - Foto Bernama
A
A
A

LAHAD DATU - Kementerian Pendidikan sedang menyiapkan satu kertas kerja untuk dibentangkan dalam mesyuarat kabinet menteri berkaitan keperluan meningkatkan kemudahan Internet di semua sekolah di negara ini, agar selari dengan pelaksanaan pendigitalan pendidikan.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, proses penyediaan kertas kerja itu kini di peringkat akhir dan turut membabitkan pandangan semua pihak dalam kementerian.

"Dalam konteks ini kita mahu melaksanakan satu rangkaian internet di sekolah yang lebih meluas, sekarang, Internet di sekolah hanya ada di tiga tempat disediakan iaitu bilik sekolah, pusat sumber dan pejabat sekolah, namun begitu apabila kita bercakap tentang pendigitalan pendidikan perkara paling penting adalah untuk memastikan akses Internet sekolah lebih meluas khususnya dalam kawasan bilik darjah, asrama dan seluruh sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran Felda Digital Maker Hub- Coding and Robotic (FDMH) di Sekolah Kebangsaan Sahabat 4, Felda Sahabat dekat sini, pada Sabtu.

Hadir sama Pengerusi Felda Tan Sri Idris Jusoh.

Mohd Radzi berkata, proses menaik taraf Internet membabitkan lebih 10,000 sekolah di negara ini akan memerlukan satu perbelanjaan cukup besar bernilai berbilion ringgit.

"Semoga usaha ini mendapat sokongan dan diluluskan kelak, " katanya.

Sementara itu ketika berucap, beliau memuji usaha dan komitmen Felda mewujudkan landskap pendidikan digital di luar bandar dengan pelaksanaan FDMH yang dilaksanakan di 19 sekolah kebangsaan di kawasan rancangan Felda setakat ini dan memberi manfaat kepada 3,483 murid sekolah.

"Dalam tempoh dua tahun setengah ini, saya harap semua 270 sekolah di dalam kawasan rancangan Felda terlibat FDMH," katanya.

Dalam pada itu, Idris berkata, pelaksanaan inisiatif FDMH akan melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM4.05 juta yang akan diperoleh melalui kaedah penajaan oleh pertubuhan bukan kerajaan

(NGO) serta individu bagi menyemarakkan penglibatan komuniti dalam pendidikan generasi baharu Felda.

"Penajaan ini adalah bagi menyediakan kelengkapan asas robotik dengan kos RM15,000 bagi sebuah sekolah.

Inisiatif ini akan menjadi sebahagian aktiviti kokurikulum yang akan dijalankan melalui kelab robotik sekolah dan mampu menjadi platform untuk meningkatkan kecemerlangan murid," katanya.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan akan bertanggungjawab memastikan pelaksanaan aktiviti itu dapat dijalankan dengan baik manakala Felda akan menyediakan latihan kepada guru reka bentuk dan teknologi yang terlibat, bagi memastikan penyampaian dan pelaksanaan aktiviti kepada murid-murid dapat dibuat secara berkesan. - Bernama