Pencarian durian terbaik Padang Terap

Abd Ghani menunjukkan durian yang mampu menjadi salah satu produk pelancongan di daerah Padang Terap ketika ditemui di AMD Resort, Perik, dekat sini pada petang Jumaat.
Abd Ghani menunjukkan durian yang mampu menjadi salah satu produk pelancongan di daerah Padang Terap ketika ditemui di AMD Resort, Perik, dekat sini pada petang Jumaat.
A
A
A

KUALA NERANG - Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap akan mencari durian terbaik di daerah itu

dalam usaha mengkomersialkan raja buah itu selain mampu menjadi antara tarikan pelancong ke negeri ini.

Pegawai Daerah Padang Terap, Datuk Abd Ghani Zulkifli berkata, usaha tersebut akan dilakukan Unit Pelancongan Daerah Padang Terap bersama Jabatan Pertanian Kedah pada Rabu ini bagi mengenal pasti durian berkualiti.

Menurutnya, program itu juga bertujuan mempromosikan durian di Padang Terap termasuk mencadangkan kepada pihak berkaitan bagi menjenamakan durian tersebut sebagai identiti daerah ini.

"Durian di sini merupakan durian kampung dan tidak mempunyai nama seperti di sesetengah tempat seperti durian balik pulau, durian batu kurau yang kini menjadi sebutan.

"Kami lihat mungkin suatu hari nanti akan ada durian Padang Terap. Terdapat beberapa jenis durian yang mampu untuk dikomersialkan di sini," katanya pada sidang akhbar semasa ditemui di AMD Resort, Perik, dekat sini pada petang Jumaat.

Mengulas lanjut, Abd Ghani berkata, banyak pokok durian yang ditanam oleh pekebun dan pihaknya mahu mencari sejenis buah durian kampung paling berkualiti untuk dijenamakan dan dikomersialkan.

Menurutnya, semua kriteria tersebut akan dilihat dan dibantu oleh Jabatan Pertanian Kedah sebelum keputusan akhir dimuktamadkan.

"Daerah Padang Terap masih lagi dipenuhi dengan pokok dan ini antara faktor yang menjadikan kawasan ini mampu menghasilkan buah durian berkualiti.

"Antara kawasan yang banyak tanaman pokok durian ialah Perik, Pedu, Naka dan beberapa tempat lagi. Apabila tiba musim durian memang banyak tempat di sekitar daerah ini menjual durian," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap juga akan memantau kemudahan seperti jalan atau jambatan kerana menjadi akses kepada pelancongan di daerah ini.