Aksi ‘wajib menang’ berdepan Harimau Malaya

Sousa mahu pemain realisasikan misi 'wajib menang' berdepan skuad Harimau Malaya. - Foto FB FAM
Sousa mahu pemain realisasikan misi 'wajib menang' berdepan skuad Harimau Malaya. - Foto FB FAM
A
A
A

PENGENDALI Bahrain, Helio Sousa menyifatkan kedua Kumpulan E pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 berdepan skuad Harimau Malaya pada Sabtu dilihat sebagai perlawanan ‘wajib menang'.

Menurut Sousa, perkara itu juga telah diingatkan kepada pemain dan diharapkan mereka dapat merealisasikan misi berkenaan.

“Bagi kita, skuad Harimau Malaya hari ini merupakan sebuah pasukan yang kuat dan ini ditambah lagi dengan sokongan padu daripada penyokong.

“Sokongan padu penyokong itu juga secara tidak langsung mewujudkan suasana hebat di stadium.

“Apa pun, matlamat kami hadir ke aksi kelayakan ini adalah untuk memastikan kemenangan dalam setiap perlawanan yang diharungi,” katanya.

Pada aksi pembukaan Kumpulan E Rabu lalu, Bahrain menewaskan Bangladesh 2-0.

Untuk rekod, sebanyak 24 pasukan bakal berentap pada pusingan ketiga kelayakan kali ini bagi merebut 11 slot ke pusingan akhir Piala Asia 2023 kelak yang melibatkan juara daripada setiap kumpulan dan lima pasukan yang menduduki tempat kedua terbaik.

Setelah aksi pembukaan Rabu lalu, skuad Dilmun’s Warriors itu berada pada kedudukan kedua Kumpulan E dengan berkongsi tiga mata dengan skuad Harimau Malaya dan dibezakan menerusi kelebihan jaringan yang dimiliki skuad negara.

Sementara itu, pemain Bahrain, Kumail Alaswad menjangkakan Stadium Nasional Bukit Jalil bakal dibanjiri penyokong skuad Harimau Malaya bagi menyaksikan perlawanan tersebut.

Bagaimanapun katanya, suasana dilihat tidak akan memberikan kesan kerana kesemua pemain telah diarahkan untuk memberikan fokus kepada aksi berdepan skuad negara.

“Pastinya stadium akan dibanjiri penyokong esok (Sabtu) bagi menyokong skuad Harimau Malaya namun kami akan tetap memberikan aksi sebaik mungkin bagi mencatatkan kejayaan pada perlawanan berkenaan,” katanya.