Perlu ada konsensus sebelum putus kemasukan parti baharu dalam BN

Ahmad (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada keluarga mangsa nelayan lemas di Kampung Dalam Ayer Baloi, Pontian pada Jumaat.
Ahmad (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada keluarga mangsa nelayan lemas di Kampung Dalam Ayer Baloi, Pontian pada Jumaat.
A
A
A

PONTIAN - Sebarang keputusan untuk menjadi ahli gabungan Barisan Nasional (BN) perlu diputuskan secara konsensus melibatkan parti komponen utama iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah ( PBRS).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, terserah kepada Majlis Tertinggi BN untuk membuat keputusan, namun merasakan terdapat halangan sekiranya Parti Bangsa Malaysia (PBM) mahu menyertai BN.

"Halangan itu melibatkan Presiden PBM, Larry Sng ketika Pilihan Raya Umum ke-15 ( PRU15) kelak. Di mana beliau hendak bertanding, kalau hendak bertanding di Sarawak, BN sudah mempunyai kesepakatan untuk tidak bertanding di Sarawak.

"Maka perkara itu perlu difikirkan BN sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya ketika diminta mengulas mengenai permohonan penyertaan PBM di dalam BN.

Pada Khamis, Larry yang juga Ahli Parlimen Julau dilaporkan berkata, permohonan penyertaan PBM dalam parti gabungan BN masih dalam proses.

Berhubung perbincangan membentuk kerjasama politik dengan parti lain, katanya, perkara itu ditentukan sebuah jawatankuasa yang dianggotai beliau bersama Datuk Zuraida Kamaruddin dan Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad.

Larry berkata, PBM memberi mandat kepada Zuraida untuk mengetuai delegasi parti itu dalam pertemuan serta rundingan dengan pemimpin parti lain, terutama bagi perbincangan membentuk kerjasama politik yang sudah pastinya akan mengambil sedikit masa.

Sebelum itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menziarahi keluarga mangsa nelayan lemas, Abu Bakar Mohammad, 57, di Kampung Dalam Ayer Baloi di sini pada Jumaat.

Mayat mangsa ditemukan di Kuala Sungai Ayer Baloi, pada Sabtu lalu selepas mayat rakannya, Khalid Mohammad, 71, ditemui sehari sebelum itu.