JKR sentiasa pantau kualiti penyelenggaraan jalan

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kerja Raya sentiasa memantau kualiti kerja penyelenggaraan serta membuat penilaian prestasi kerja syarikat konsesi dari semasa ke semasa secara bulanan mengikut AgreedPerformance Standard (APS) yang telah ditetapkan bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan tampalan lubang jalan (pothole) dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.

Menurutnya, selain itu, darjah pemadatan tampalan lubang jalan juga diuji melalui kaedah Non-Destructive Test (NDT) bagi memastikan darjah pemadatan mematuhi spesifikasi yang telah ditetapkan.

"Pihak JKR sentiasa memastikan semua bahan tampalan pothole yang digunakan adalah daripada loji-loji pengeluaran asfalt yang diiktiraf dan mematuhi spesifikasi.

"Sejak tahun 2016 sehingga 2021, terdapat sebanyak 948,853 bilangan pothole yang telah ditampal, manakala untuk Januari hingga Mei 2022, sebanyak 4,349 bilangan pothole di jalan Persekutuan telah ditampal hasil daripada pemeriksaan rutin oleh pihak JKR dan syarikat konsesi yang dilantik serta melalui aduan yang diterima daripada orang awam.

"Kerja–kerja membaik pulih lapisan permukaan jalan (kerja berkala pavemen) juga dilaksanakan dari semasa ke semasa bergantung kepada peruntukan yang diterima, sekali gus dapat memanjangkan jangka hayat jalan raya seterusnya mengurangkan bilangan kejadian pothole di jalan Persekutuan.

"Jabatan ini sentiasa komited dan berusaha untuk memperbaiki serta menyelenggara setiap kerosakan jalan yang telah dikenal pasti. Setiap aduan diambil tindakan yang sewajarnya untuk diselesaikan dengan kadar segera tanpa mengira status pengadu dan turut mengamalkan 'no wrong door policy' demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kenyataan tersebut adalah maklum balas susulan artikel Laporan Khas 'Fenomena jalan rosak di Malaysia' disiarkan Sinar Harian pada 9 Jun 2022.

Dalam kenyataan sama, turut dijelaskan bahawa JKR telah dipertanggungjawabkan sebagai agensi pelaksana dalam pembangunan fizikal negara dan dalam pengurusan aset infrastruktur negara, JKR diberi tanggungjawab sebagai pengurus aset, khususnya bagi jalan Persekutuan dan jalan raya negeri.

Bagaimanapun, gambar-gambar yang dipaparkan dalam artikel berkenaan adalah bukan di bawah seliaan pihak JKR Malaysia.

"Jumlah keseluruhan jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia adalah sepanjang14,857.86 kilometer, manakala jalan raya negeri adalah 236,581.527 kilometer.

"Selain daripada jalan yang diselia oleh JKR, terdapat juga jalan di bawah tanggungjawab agensi lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT)," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pelaksanaan penyenggaraan jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia dilaksanakan oleh syarikat konsesi yang dilantik oleh kerajaan iaitu THB Maintenance Sdn Bhd, Belati Wangsa Sdn Bhd, Roadcare (M) Sdn Bhd dan Selia Senggara Selatan Sdn Bhd.

Sebanyak 164 subkontraktor telah dilantik oleh syarikat konsesi bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan penampalan lubang permukaan jalan.