Warga Bangladesh dalang sindiket RTK kaut untung RM2 juta

Khairul Dzaimee (tengah) menunjukkan passport dan barang rampasan.
Khairul Dzaimee (tengah) menunjukkan passport dan barang rampasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kegiatan seorang lelaki Bangladesh menjalankan agensi pekerjaan haram bersama isteri warga tempatan terbongkar selepas digempur Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dalam dua serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada Rabu.

Difahamkan, lelaki berstatus Pemastautin Tetap (MyPR) itu mengenakan bayaran lingkungan RM3,500 hingga RM4,200 dengan menyalahgunakan program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) dengan mendaftarkan pendatang asing yang berminat sebagai pekerja di sektor berkenaan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan berkenaan, Imigresen berjaya merampas 488 naskhah pasport di mana pasangan yang berusia lingkungan 30-an mengaut keuntungan melebih RM2 juta.

"Modus operandi sindiket ini adalah menubuhkan syarikat pembinaan dan agensi pekerjaan haram untuk mengaburi pihak berkuasa dan meyakinkan pelanggan untuk urusan pengambilan pekerja asing.

"Hasil risikan selama dua bulan mendapati syarikat pembinaan ini telah beroperasi sejak tahun 2014 dan disyaki menjalankan aktiviti sebagai ejen menguruskan pekerja asing sejak 2021," katanya pada sidang media di Pejabat Bahagian Risikan dan Operasi Khas, Kompleks Kerajaan Parsel D di sini pada Jumaat.

Antara pasport dan wang tunai yang dirampas Imigresen dalam serbuan tersebut.
Antara pasport dan wang tunai yang dirampas Imigresen dalam serbuan tersebut.

Beliau berkata, suspek yang merupakan seorang lelaki Bangladesh berusia 42 tahun ditahan bersama isterinya dalam serbuan pertama di sebuah premis miliknya di Jalan Lumut, Kuala Lumpur.

Katanya, lelaki tersebut memperoleh status MyPR pada 18 Februari 2015 dan dipercayai masuk ke dalam negara sejak 2010.

"Serbuan kedua telah menahan seorang wanita tempatan yang merupakan pemilik syarikat pembinaan berumur 36 tahun bersama dua lelaki Bangladesh yang berperanan sebagai orang perantaraan antara syarikat dan pelanggan.

"Suami wanita tersebut seorang lelaki Bangladesh yang tiba di premis ketika serbuan dijalankan turut ditahan," katanya.

Menurutnya, pasukan serbuan turut merampas cap syarikat, komputer, wang tunai RM38,308 dan sebanyak 457 naskhah pasport Bangladesh, Indonesia (lapan), India (lapan), Pakistan (lapan), Myanmar (enam), serta Nepal (satu).

Khairul Dzaimee berkata, keseluruhannya, seramai enam suspek berusia lingkungan 36 hingga 52 tahun ditahan kerana melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Semakan sedang dijalankan untuk mengenal pasti RTK yang telah dikeluarkan oleh sindiket berkenaan untuk diambil tindakan," ujarnya.