Juara Olimpik gesa IOC tarik semula larangan

Maria Lasitskene
Maria Lasitskene
A
A
A

JUARA Olimpik lompat tinggi, Maria Lasitskene menggesa ketua Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk menarik balik sekatan yang dikenakan terhadap atlet Rusia berhubung pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.

Lasitskene yang juga juara dunia tiga kali dalam surat terbuka mendakwa bahawa pasport Rusianya digunakan sebagai 'kad truf' oleh badan induk sukan itu, World Athletics (WA) atas arahan Presiden IOC, Thomas Bach.

Dia turut menyelar Bach yang berkata, bahawa bulan lalu hak mereka yang tidak menyokong perang Rusia di Ukraine harus dihormati malah tidak sepatutnya wujud sekatan untuk pemegang pasport.

"Pesaing dan rakan utama saya dalam arena lompat tinggi juga adalah atlet wanita Ukraine. Saya masih tidak tahu apa yang hendak dikatakan kepada mereka atau bagaimana untuk melihat ke dalam mata mereka dalam isu ini.

"Mereka dan rakan-rakan serta saudara mara di Ukraine sedang mengalami apa yang tidak sepatutnya dirasai dalam kalangan manusia. Saya yakin perkara ini tidak sepatutnya berlaku," tulisnya.

Sebelum ini, IOC mengeluarkan panduan kepada badan induk sukan dunia pada Februari untuk menyingkirkan Rusia dan Belarusia daripada pertandingan selepas kuasa ketenteraan dunia tersebut menghantar tentera ke Ukraine yang menyaksikan kebanyakan persekutuan sukan antarabangsa mengikuti saranan itu.

Bulan lalu, Bach menyifatkan penyingkiran atlet Rusia dan Belarusia sebagai langkah perlindungan sambil berkata keselamatan atlet negara terbabit pada pertandingan tidak dapat dijamin memandangkan sentimen anti-Rusia dan anti-Belarus yang mendalam di kebanyakan negara berikutan pencerobohan itu.

Pada masa sama Lasitskene mendakwa alasan Bach berkenaan tahap keselamatan atlet tidak munasabah kerana atlet tenis negara tersebut masih dibenarkan bertanding di saingan kejuaraan antarabangsa.

"IOC sendiri tidak membenarkan Jawatankuasa Olimpik Rusia atau menghalang ahli Rusianya daripada mengambil bahagian dalam mesyuaratnya walaupun terdapat desakan untuk kembali membenarkannya," katanya.

Presiden Jawatankuasa Olimpik,Stanislav Pozdnyakov pula dalam komen berasingan berkata, kebimbangan utamanya ialah 'sekatan yang belum pernah berlaku sebelum ini' yang dikenakan ke atas atlet negara dan ketidakpastian mengenai kelayakan untuk Sukan Olimpik Paris 2024.

Untuk rekod, Lasitskene memenangi emas pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun lalu tanpa bendera dan lagu Rusia kerana sekatan doping terhadap negara itu.