Perlu lebih peruntukan atasi banjir kilat di KL

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu salur lebih peruntukan kepada Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan bagi projek atasi banjir kilat di ibu kota pada Bajet 2023.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, kekerapan hujan lebat telah menyebabkan Kuala Lumpur sering dilanda banjir dan kejadian terburuk pada 18 Disember lalu.

Menurutnya, banjir kilat perlu diatasi dengan norma baharu dan tidak lagi dilihat berpunca susulan hujan luar biasa.

"Kementerian Kewangan perlu beri lebih peruntukan kepada JPS Wilayah Persekutuan bagi membolehkan kerja pembersihan dan pengorekan pasir (mendapan) ditingkatkan kepada setiap bulan atau empat kali setahun.

"Jika tidak diturunkan peruntukan, sekiranya banjir teruk berlaku lagi pada tahun hadapan maka wang akan disalurkan untuk tujuan pampasan dan kebajikan.

"Ketika itu, wang RM1,000 tiada guna lagi kerana kerosakan yang dialami penduduk nilainya lebih daripada itu," katanya pada sidang akhbar mengatasi isu banjir di Kolam Air, Sungai Batu pada Jumaat.

Beliau berkata, hujan lebat pada 18 Disember lalu telah menyebabkan kawasan Kolam Air dan Kampung Kasipillay dilanda banjir lumpur susulan limpahan air dari Sungai Batu.

"JPS telah ambil beberapa langkah susulan kejadian itu termasuk kerja mengorek pasir di lokasi hotspot, baik pulih tebing sungai yang runtuh, penyelenggaraan sungai termasuk memotong rumput serta siasatan tanah sebelum kerja tambah baik lain dilakukan.

"JPS juga telah memasang sistem siren amaran banjir yang kerja sedang berjalan dan dijangka berakhir pada Julai. Saya minta JPS gunakan multi bahasa termasuk Tamil dan Mandarin kerana kebanyakan penduduk adalah warga emas (majoriti bukan Melayu)," katanya.

Beliau turut menggesa kabinet melakukan koordinasi antara agensi terlibat bagi membantu pegawai di lapangan supaya masalah banjir di ibu kota dapat diatasi secara sistematik.

"Jika kerajaan tiada duit untuk beri peruntukan maka kena cari idea baharu dan saya cadangkan Sungai Batu ini benarkan aktiviti korek pasir dan pasir itu jual.

"Kita buat kawalan, kontraktor masuk ambil pasir dan kerajaan tak perlu bayar. Dengan cari itu, kita dapat penyelenggaraan (pengorekan pasir) secara konsisten tanpa keluarkan kos," katanya.