Rakyat Israel dibenar masuk Qatar saksikan Piala Dunia 2022

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

ISRAEL mengumumkan peminat bola sepak negara itu akan dapat menghadiri perlawanan Piala Dunia 2022 di Qatar dan langkah itu disifatkan membuka 'pintu baharu' kepada negara itu yang tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi pada masa ini.

Pengumuman bersama itu dibuat oleh Menteri Luar Israel, Yair Lapid; Menteri Pertahanan Benny Gantz dan Menteri Sukan, Chili Tropper selepas perbincangan berbulan-bulan dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA),

“Cinta bola sepak dan sukan menghubungkan orang dan negeri, Piala Dunia pada November ini membuka pintu baharu untuk kami mengeratkan hubungan tersebut,” kenyataan itu memetik Lapid sebagai berkata.

Untuk rekod, Israel gagal layak ke pusingan akhir akhir Piala Dunia Qatar 2022 kali ini.

Qatar, merupakan sebuah negara Teluk Arab yang kecil, namun kaya dengan hasil bumi, akan menjadi tuan rumah Piala Dunia pertama di Timur Tengah, bermula November.

Pegawai Piala Dunia Qatar sebelum ini berulang kali mengatakan bahawa semua warga negara dialu-alukan semasa kejohanan itu.

Semua pemegang tiket mesti memohon kad Hayya, pengenalan peminat yang berfungsi sebagai visa masuk ke Qatar.

Berbeza dengan jirannya di Teluk Arab, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu, yang baru-baru ini menandatangani perjanjian bersejarah dengan Israel, Qatar telah menetapkan normalisasi hubungan dengan penubuhan sebuah negara Palestin.