Tawaran STR bantu penjawat awam, pesara kerajaan negeri miliki tanah

Wan Rosdy menyerahkan surat tawaran kepada salah seorang peserta Lot Ladang Sawit STR Batu 8 Lepar (Lot 5), Mukim Lepar dalam majlis penyerahan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan pada Khamis.
Wan Rosdy menyerahkan surat tawaran kepada salah seorang peserta Lot Ladang Sawit STR Batu 8 Lepar (Lot 5), Mukim Lepar dalam majlis penyerahan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan pada Khamis.
A
A
A

PEKAN - Tawaran pemilikan tanah di bawah Skim Tanah Rakyat (STR) kepada penjawat awam dan pesara kerajaan negeri ini salah satu inisiatif membantu golongan itu memiliki tanah sendiri.

Inisiatif itu juga bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap kepentingan golongan tersebut selain sebagai tanda penghargaan atas perkhidmatan mereka selama ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penjawat awam merupakan pemangkin kepada pembangunan negeri.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa cakna mengenai hal ehwal kebajikan penjawat awam di Pahang dan tawaran STR seluas lima ekar setiap seorang kepada golongan itu salah satu inisiatif bagi menghargai khidmat bakti mereka.

"Melalui tawaran STR ini, mereka yang terpilih hanya perlu membayar RM12,200 seekar atau RM61,000 keseluruhan bagi lot tanah tersebut.

"Penerima lot tanah di bawah skim ini dipilih dan ditentukan jawatankuasa khas berdasarkan beberapa kriteria dengan keutamaan kepada penjawat awam, pesara kerajaan dan golongan berpendapatan rendah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Surat Tawaran kepada Peserta Lot Ladang Sawit STR Batu 8 Lepar (Lot 5), Mukim Lepar di sini pada Khamis.

Pada majlis itu, seramai 240 penerima telah menerima surat tawaran masing-masing.

Wan Rosdy berkata, penerima STR disaran agar tidak menjualnya kepada pihak lain kerana tanah itu amat bernilai.

"Pada masa sama mereka diingatkan supaya lupa tanggungjawab untuk membayar cukai tanah," katanya.

Sementara itu katanya, bagi memastikan skim tanah itu berjalan lancar, kerajaan negeri telah mewujudkan Jawatankuasa Khas Penyelesaian Skim Tanah Rakyat (JKPSTR) yang bertindak sebagai jawatankuasa khusus bagi mempertimbangkan pemberi milikan tanah secara berperancangan di negeri ini.

Menurutnya,pemberian STR bukan sekadar membantu rakyat untuk memiliki tanah sendiri semata-mata tetapi juga untuk menambah pendapatan mereka serta memastikan tanah tersebut tidak terbiar.

"Skim ini juga akan diperluaskan ke setiap daerah bagi membolehkan lebih ramai rakyat memiliki tanah sendiri," katanya.