Industri perhotelan Melaka 'sakit' kurang pekerja

Industri perhotelan di Melaka menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja yang kritikal. - Foto 123RF
Industri perhotelan di Melaka menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja yang kritikal. - Foto 123RF
A
A
A

MELAKA - Industri perhotelan di Melaka berada dalam keadaan 'sakit' berikutan masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor itu masih belum menemui jalan penyelesaian.

Apa yang membimbangkan kebanyakan hotel di Melaka tidak dapat memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan serta pelancong lebih-lebih lagi sepanjang cuti persekolahan ini.

Exco Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Sektor Melaka, Sazali Sabri berkata, sejak minggu lalu kebanyakan tempat penginapan penuh, namun mereka berdepan kekangan pekerja hotel dan bahagian makanan dan minuman (F&B).

Menurutnya, kekurangan kakitangan dalam sektor berkenaan merupakan isu yang kritikal dan majoriti ahli persatuan itu mengalami nasib yang sama.

Katanya, ada di antara tempat penginapan yang mempunyai 500 hingga 600 bilik namun hanya menggunakan separuh daripada jumlah keseluruhan bilik kerana kekurangan kakitangan melakukan kerja-kerja pembersihan.

"Ini adalah isu kritikal yang sedang menghantui kami dan apa yang membimbangkan telah menggugat kualiti perkhidmatan kami.

"Kebanyakan hotel bajet di Melaka juga tidak ketinggalan menerima pelancong ramai termasuk pelancong Singapura dan jika keadaan ini berterusan sukar untuk sektor ini pulih selepas pandemik Covid-19," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Sazali berkata, walaupun menawarkan gaji melebihi gaji minimum iaitu melepasi RM1,500 namun masih tidak dapat menarik orang tempatan untuk menyertai sektor tersebut.

"Sehinggakan kita juga terpaksa mengambil pekerja sambilan dan menawarkan RM100 sehari bukannya mengikut jam seperti RM5 atau RM6 sejam.

"Selalunya bila kita nak pakai 10 pekerja sambilan tapi yang datang pun hanya dua, tiga orang dan tidak mencukupi," katanya.

Jelasnya, kebanyakan ahli persatuan mengharapkan tempoh enam bulan kedua tahun ini mereka dapat bernafas dan mendapat sedikit keuntungan selepas tidak beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),

Namun ujarnya, jika isu itu masih gagal diselesaikan bimbang ramai yang terpaksa menanggung kerugian.