Polis kesan waris mayat dalam longkang

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KLANG - Polis sedang mengesan waris lelaki yang ditemui mati di dalam sebuah longkang besar berhampiran pasar pagi di Jalan Papan, Pandamaran di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, mayat lelaki tempatan yang berseluar panjang dan tidak berbaju itu ditemui orang awam di sini sekitar jam 7.08 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berumur 44 tahun berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui kad pengenalan yang dijumpai di dalam poket seluar mangsa.

"Siasatan lanjut mendapati mayat tersebut tidak berbaju, hanya berseluar panjang telah kembang dan berbau busuk.

"Pemeriksaan telah dibuat ke atas tubuh badan mangsa dan mendapati tiada kesan kecederaan yang disebabkan oleh unsur-unsur khianat atau perbuatan jenayah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan penemuan mayat seorang lelaki tempatan di dalam sebuah longkang oleh orang awam sebelum dibawa keluar oleh anggota dan pegawai dari Balai Bomba Pelabuhan Klang yang tiba di lokasi pada jam 8.16 pagi.

Mengulas lanjut, Hoong Fong berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam dan kematian tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara siasatan lanjut dijalankan.

"Sebarang maklumat daripada orang awam boleh disalurkan terus kepada pihak polis Klang Selatan di talian 03-3371 9999 atau di balai polis berhampiran," katanya.