UUM diiktiraf 500 universiti terbaik dunia

Haim Hilman
Haim Hilman
A
A
A

ALOR SETAR - Kedudukan Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2023 melonjak apabila diumumkan berada dalam kelompok 500 universiti terbaik dunia.

Naib Canselornya, Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, UUM kini berada di tangga 481, berbanding edisi sebelumnya iaitu di tangga 511-520.

Menurutnya, perkembangan itu juga menyaksikan universiti tersebut kini berada di kedudukan keenam universiti awam terbaik negara.

“Alhamdulillah, ini adalah kejayaan bersama kita. Saya yakin dan percaya kejayaan ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa komitmen semua termasuk pensyarah, pentadbir, sokongan dan siapa juga tanpa mengira jawatan yang menyumbang kepada kejayaan ini.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi dan kerajaan Malaysia yang banyak membantu universiti awam agar terus kekal kompetitif di persada dunia dan yakin akan terus mengorak langkah untuk berjaya di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penghargaan dan terima kasih juga ditujukan kepada semua alumni UUM atas hasil usaha dan sokongan yang diberi terhadap semua agenda yang disusun bagi mengangkat martabat universiti di mata dunia.

Menurutnya, beliau berharap semua pihak dapat berusaha memastikan kecemerlangan menjadi titik kebangkitan sebagai sebuah universiti.

“Kita perlu berusaha untuk menjadi sebuah universiti yang cemerlang dalam bidang akademik, penyelidikan dan pembangunan modal insan kerana ciri-ciri inilah yang membawa kita kepada kejayaan dalam ranking ini.

“Ini kerana ranking merupakan manifestasi kepada kejayaan kita untuk terus kekal cemerlang dan kompetitif dalam dunia pendidikan tinggi antarabangsa dan negara,” ujarnya.

QS World University Rankings yang dikeluarkan secara tahunan menyaksikan lebih 1,422 universiti seluruh dunia yang disenaraikan bagi penarafan 2023.

Dalam tempoh tiga tahun dari 2021, UUM berjaya membuat lonjakan 50 anak tangga sehingga tersenarai dalam 500 universiti terbaik dunia pada tahun penarafan ini.