[VIDEO] TMJ umum tinggalkan JDT

Pengumuman berkenaan dibuat TMJ melalui satu hantaran dalam Facebook Johor Southern Tigers pada Khamis.
Pengumuman berkenaan dibuat TMJ melalui satu hantaran dalam Facebook Johor Southern Tigers pada Khamis.
A
A
A

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuat pengumuman mengejut memaklumkan beliau meninggalkan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Khamis.

Pengumuman berkenaan dibuat pemilik Kelab Bolasepak JDT itu melalui satu hantaran dalam Facebook rasmi kelab berkenaan, Johor Southern Tigers sebentar tadi.

"Disebabkan tanggungjawab dan komitmen saya yang lain, saya telah mengambil keputusan untuk berundur dan menyerahkan urusan harian Kelab Bolasepak JDT kepada pengurusan tertinggi kelab.

"Saya doakan yang terbaik untuk kelab dan semua," katanya dalam hantaran berkenaan.

Keputusan yang diambil Tunku Ismail itu jelas mengejutkan penyokong, namun berdasarkan maklum balas dalam media sosial, keputusan tersebut dipercayai berkait rapat dengan pentadbiran negeri Johor.

Tunku Ismail melakukan transformasi kelab bola sepak itu dan sukan berkenaan di Johor khususnya setelah mengambil alih pasukan sejak 2012.

Sepanjang tempoh hampir 10 tahun, pelbagai kejayaan demi kejayaan yang diraih pasukan Harimau Selatan itu dirangkul dengan mula memenangi gelaran Liga Super pada 2014.

Sejak itu, gelaran Liga Super sebagai perlawanan paling berprestij di Malaysia tidak pernah berpindah tangan apabila JDT muncul juara saban tahun bagi lapan musim berturut-turut.

Kejayaan JDT pada 2015 antara yang tidak boleh dilupakan ketika pasukan kendalian Mario Gomez ketika itu memenangi Piala AFC, sekali gus menjadi kelab pertama tanah air memenanginya.

Baru-baru ini, JDT sekali lagi mengukir nama di pentas antarabangsa selepas muncul pasukan pertama di Malaysia layak ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-juara Asia (ACL).