Nelayan rayu laksana segera projek pemecah ombak

Keadaan pokok rhu yang tumbang di Pantai Pueteri mencacatkan pemandangan dan membahayakan pengunjung.
Keadaan pokok rhu yang tumbang di Pantai Pueteri mencacatkan pemandangan dan membahayakan pengunjung.
A
A
A

MELAKA - Hampir 70 nelayan di Pantai Puteri dekat sini merayu kerajaan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri mempercepatkan projek pemecah ombak di kawasan berkenaan.

Lebih menyedihkan masalah yang berlanjutan sejak 2018 itu masih belum menemui sebarang jalan penyelesaian dalam membela nasib golongan itu.

Seorang nelayan yang ditemui, Md Azli Hassan, 51, berkata, disebabkan isu yang dihadapi itu mereka terpaksa berdepan pelbagai masalah dan kerugian disebabkan pukat serta peralatan menangkap ikan yang lain turut mengalami kerosakan kerana sering dipukul ombak besar.

Menurutnya, apa yang membimbangkan apabila keadaan hakisan pantai masih berlaku dan tidak mustahil pertukaran Monsun Barat Daya akan menyebabkan ombak lebih besar melanda pantai.

"Memanglah nelayan kecewa, sebab sejak tahun 2018 masalah ini belum lagi diselesaikan.

"Tidak dinafikan sebelum ini ada tindakan yang telah diambil bagi mengatasi masalah hakisan namun hanya sementara sahaja dan tidak berpanjangan," katanya.

Dalam pada itu, Md Azli turut berharap pembinaan rumah perahu yang dipukul ribut dapat segera dibina bagi mengelakkan bot mengalami kerosakan dan bertambah uzur kerana terpaksa berjemur di bawah terik matahari dan hujan.

Perkara sama turut disuarakan,Rosli Ahmad, 52, yang sudah 16 tahun bergelar nelayan mengharapkan projek berkenaan dapat dipercepatkan.

Dia mendakwa peruntukan sebanyak RM30juta bagi projek itu telah diluluskan dan dijangka bermula akhir tahun ini atau awal tahun depan.

Keadaan Pantai Puteri yang semakin terhakis dan pelancong semakin berkurangan.
Keadaan Pantai Puteri yang semakin terhakis dan pelancong semakin berkurangan.

"Jika benar projek ini lambat untuk dimulakan, saya risau keadaannya akan bertambah kritikal kerana dalam tempoh itu macam-macam perkara boleh berlaku.

"Malah pastinya nelayan di sini akan terus mengalami kerugian dan tidak mustahil pantai perkelahan yang terpanjang di Melaka ini lenyap dan hanya tinggal kenangan," katanya kepada pemberita di sini, pada Khamis.

Sementara itu, pelancong dari Senawang, Negeri Sembilan, Jasni Abd Rahman, 66, yang beberapa kali telah mengunjungi pantai itu mengakui keadaannya semakin berubah berbanding sebelum ini.

"Dulu kawasan ini memang cantik, pokok rhu pun banyak dan keadaan pesisiran pantai juga lebih luas. Tapi sekarang memang berubah dan tak secantik dahulu dan harap tindakan segera dapat diambil untuk kurangkan hakisan pantai, " katanya

Seorang lagi pengunjung, Sofi Kamarudin, 43, berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat membersihkan pokok-pokok rhu yang tumbang dan mati agar tidak mencacatkan pemandangan.

"Risau juga dengan keadaan pokok rhu yang tidak dialihkan, sepatutnya dibersihkan demi keselamatan pengunjung dan pemandangan lebih cantik," katanya.