MAHA 2022 angkat tema ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’

Ronald (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pra-Pelancaran Malaysia Agriculture, Horticulture & Agrotourism (MAHA) 2022 di Dewan D, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Khamis. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ronald (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pra-Pelancaran Malaysia Agriculture, Horticulture & Agrotourism (MAHA) 2022 di Dewan D, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Khamis. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SERDANG - Selepas empat tahun terhenti, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) tahun ini kembali menganjurkan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA), yang mana ia diadakan secara hibrid iaitu kombinasi fizikal dan maya selaras dengan pembudayaan norma baharu.

MAHA 2022 yang bertemakan ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’ itu akan berlangsung selama 11 hari bermula 4 hingga 14 Ogos di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, penetapan tema ini adalah bertepatan dengan tumpuan yang sedang diberikan dalam memperkukuhkan agenda sekuriti makanan negara.

“Saya dimaklumkan lebih kurang 1,500 ruang pameran dan jualan akan disediakan pada MAHA kali ini mengikut segmen.

“Ini termasuklah pameran oleh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, pameran oleh syarikat swasta dan badan korporat tempatan, seminar dan konvensyen agromakanan dan sebagainya," katanya.

Dalam pada itu, MAFI menyasarkan seramai 100,000 orang pengunjung sehari hadir ke MAHA 2022.

“Berdasarkan kepada sasaran ini, MAFI menjangkakan MAHA 2022 mampu menghasilkan lebih daripada RM250 juta potensi nilai jualan termasuk padanan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pra-Pelancaran MAHA 2022 di MAEPS di sini pada Khamis.

Tambahnya, pameran ini adalah platform terbaik untuk pemain industri bagi aktiviti pemadanan perniagaan mempamerkan teknologi dan inovasi terbaharu dalam bidang agromakanan selain menyediakan platform perniagaan dalam dan luar negara serta menggalakkan penglibatan generasi muda menceburi bidang perniagaan pertanian.

“MAFI juga sedang terus mengorak langkah menerajui Revolusi Industri 4.0 bagi memodenkan industri pertanian negara sejajar dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0.

"Ini adalah selaras dengan hasrat menjadikan sektor agromakanan terus berdaya saing dan mampan," jelasnya.