UiTM Lions mengaum kali kedua di Kuching

UiTM Lions meraikan kejayaan merangkul kejuaraan bola baling Terbuka Sarawak kali kedua berturut-turut.
UiTM Lions meraikan kejayaan merangkul kejuaraan bola baling Terbuka Sarawak kali kedua berturut-turut.
A
A
A

SKUAD bola baling wanita Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lions berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya mengekalkan kejuaraan dua kali berturut-turut Piala Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi ke-10 sempena Kejohanan Bola Baling Terbuka Sarawak 2022.

Kejuaraan yang berlangsung di Stadium Perpaduan Kuching, Sarawak itu menyaksikan penguasaan UiTM Lions apabila menjinakkan Sarawak Sports Corporation (SSC) 16-11 dalam perlawanan akhir.

"Pasukan tampil ke kejohanan kali ini dengan misi mengekalkan kejuaraan yang dimenangi sebelum ini.

"Alhamdulillah, syukur permulaan positif pasukan bola baling wanita yang boleh disifatkan permulaan cemerlang selepas berehat daripada kejohanan tertangguh disebabkan pandemik Covid-19," kata pegawai dan jurulatih pasukan, Nor Ashikin Hassan.

Kemenangan itu membolehkan UiTM Lions membawa pulang piala pusingan, piala Iringan, medal dan wang tunai RM1,500.

Majlis penutup dirasmikan Timbalan Menteri Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dihadiri Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia, Pandak Ahmad.