MAINJ bantu pelajar jantung berlubang

Laporan Sinar Harian 3 Jun lalu. Gambar kecil: Khairin Nisa
Laporan Sinar Harian 3 Jun lalu. Gambar kecil: Khairin Nisa
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri akan membantu seorang pelajar lelaki menghidap penyakit jantung berlubang yang memerlukan dana bagi menampung kos perbelanjaan pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin Nisa Ismail berkata, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan membantu Muhammad Raeez Ramadhan Mohd Zulkiflee, 13, yang menderita jantung berlubang.

"MAINJ pada setiap tahun menyalurkan bantuan RM2 juta setahun kepada IJN untuk membantu pesakit-pesakit jantung daripada keluarga kurang berkemampuan yang mendapat rawatan di IJN.

"Selain itu menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim (YPKDT) di bawah portfolio saya, kita akan lihat apa keperluan Muhammad Raeez Ramadhan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Pada Jumaat, Sinar Harian menyiarkan penderitaan Muhammad Raeez Ramadhan di Kampung Paya Lang, Batu Anam, Segamat yang memerlukan dana RM65,000 bagi menampung kos pembedahan yang perlu dilakukan secepat mungkin di IJN.

Dia yang merupakan anak kelima daripada enam beradik itu ketika ini meneruskan kehidupan seperti biasa dengan hadir kelas di bahagian pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Pogoh di Segamat.

Menurut ibunya, Norizan Marsandi, 46, apa yang lebih membimbangkan, doktor yang merawatnya memberitahu saiz lubang di jantung sebesar syiling 50 sen itu dikhuatiri membesar jika pembedahan tidak dilakukan secepat mungkin.

Sementara itu, Norizan yang berniaga makanan bersebelahan pejabat agama Islam dan berdepan Masjid Jamek Segamat sejak sebulan lalu berkata, keluarganya tidak mampu menampung kos pembedahan yang sebelum ini RM15,000 tetapi meningkat RM65,000.

Dia terkejut apabila kisah anaknya tersiar, tiga wakil rakyat datang mengunjunginya termasuk wakil YPKDT bagi melihat sendiri keadaan Muhammad Raeez Ramadhan selain menhulurkan sumbangan.

Zahari (empat dari kiri) melawat Muhammad Raeez (tengah) di rumahnya di Kampung Paya Lang, Batu Anam, Segamat, pada Jumaat
Zahari (empat dari kiri) melawat Muhammad Raeez (tengah) di rumahnya di Kampung Paya Lang, Batu Anam, Segamat, pada Jumaat

Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip yang juga Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor datang melawat anaknya pada malam Jumaat.

"Pada Sabtu ADUN Pemanis, Anwar Abdul Manap pula datang dan pada Ahad ADUN Kemelah, N Saraswati datang melawat. Mereka memberi sumbangan dan mahu mengetahui bila tarikh pembedahan. Kami sekeluarga berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin," katanya.

Sementara itu, Penggerak Wanita DUN Buloh Kasap YPKDT, Noor Salihin Cholan yang melawat Muhammad Raeez Ramadhan pada Khamis berkata, pihaknya akan melihat peralatan atau perubatan yang diperlukan.