Dilema homestay atau hotel 3 bintang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MINGGU ini jatuh cuti penggal pertama persekolahan dan kebetulan cuti umum sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka tahun 2022.

Maka ramailah orang perseorangan atau yang berkeluarga melakukan perjalanan jarak jauh sama ada menghadiri majlis jemputan ataupun berjalan-jalan dengan tujuan beriadah.

Dipendekkan cerita, disebabkan terlalu lama memandu ke utara dan mulai rasa mengantuk, maka kami sekeluarga mengambil keputusan untuk bermalam di Taiping dengan harapan dapat menginap di mana-mana rumah penginapan 'homestay' atau hotel tiga bintang.

Disebabkan keputusan bermalam dibuat secara sepontan dan tidak membuat perancangan awal maka berlegar-legar mencari homestay dan hotel 3 bintang menerusi laman sosial.

Maka keluarlah senarai lokasi homestay dan harga penginapan yang dikenakan, begitu juga carian lokasi untuk hotel tiga bintang.

Namun agak mengecewakan ketika membuat tempahan harga yang ditawarkan berlainan daripada senarai yang dipaparkan.

Harga yang dikenakan agak luar biasa tinggi berbanding waktu puncak musim cuti sekolah biasa dan cuti perayaan.

Bagi sebuah homestay yang pernah saya menginap di bandar tertua itu harga sebelum ini ialah RM200. Tetapi mungkin disebabkan permintaan tinggi daripada orang luar maka naik hampir sekali ganda.

Disebabkan terlalu letih, saya pun bersetuju tetapi hati berdetik ingin melihat keadaan homestay berkenaan. Ini kerana bayaran perlu dibuat secara 'online' dan wang tidak dikembalikan.

Agak mengecewakan kerana keadaan homestay berkenaan tidak langsung memuaskan. Ruang tamu dan bilik tidak dikemaskan sebaik mungkin.

Dengan berfikiran positif, Merak jalanan berpendapat mungkin tiada cukup kakitangan kerana bercuti atau sebaliknya. Kami akur dan cuba berunding untuk harga patut, sebaliknya jawapan yang diterima tauke 'take it or leave it'.

Tanpa banyak 'drama', kami sekeluarga beredar dan cari hotel tiga bintang, sekali lagi dikecewakan kerana bilik tidak dikemaskan rapi dan televisyen tidak berfungsi, ibarat duduk dalam gua.

Malah harga yang ditawarkan turut berlainan daripada senarai harga yang sepatutnya.

Tanpa mengelak 'drama' yang panjang, kami pun keluar dan terfikir sejenak.

Diwaktu susah semua mereka ini agresif meminta tolong daripada pihak berkuasa dan orang ramai. Tetapi bila agak poket macam hendak penuh disebabkan permintaan tinggi lain pula cara bunyi bicaranya.

Merak Jalanan mengambil sikap tidak mahu viralkan drama malam itu kerana fikirkan kelangsungan perniagaan warga setempat untuk jangka panjang.