Tawau lokasi strategik lihat gerhana matahari separa tahun depan

 Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan (lima, kanan) bersama para wakil terlibat pada Program Jelajah Astronomi Pantai Timur Sabah 2022 di Dewan Masyarakat Tawau, pada Rabu. - Foto Bernama
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan (lima, kanan) bersama para wakil terlibat pada Program Jelajah Astronomi Pantai Timur Sabah 2022 di Dewan Masyarakat Tawau, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

TAWAU - Tawau akan menjadi lokasi strategik di Malaysia untuk melihat fenomena gerhana matahari separa pada tahun hadapan dengan peratus litupan matahari mencecah hampir 50 peratus.

Pengarah Planetarium Negara Anita Bahari berkata, mengikut kiraan astronomi tarikh berlaku fenomena itu pada 20 April, iaitu waktu tengah hari dan pada bulan puasa.

"Tawau adalah lokasi terbaik mencerap atau meneropong gerhana matahari ketika itu, berbanding di tempat lain misalnya di Semenanjung Malaysia pun hanya lima hingga 15 peratus litupan," katanya ketika berucap pada majlis penutupan jelajah astronomi pantai timur Sabah disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan di sini, pada Rabu.

Anita turut memohon persetujuan daripada Majlis Perbandaran Tawau serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) dan Planetarium Negara agar pihak Planetarium Negara dibenarkan untuk mengadakan program bersama masyarakat Tawau pada tarikh tersebut sekali gus menyaksikan keajaiban gerhana matahari.

"Sebenarnya pada tahun hadapan kita alami gerhana matahari hibrid, hibrid ini jarang berlaku mungkin dalam 20 hingga 30 tahun, terdapat satu masa pada hari sama akan berlaku gerhana matahari penuh, gerhana matahari cincin (anulus) dan di sini adalah laluan paling akhir matahari separa," katanya lagi.

Menurutnya, pihaknya bersedia membawa peralatan termasuk pelbagai jenis teleskop khas untuk matahari serta membawa pakar-pakar astronomi yang akan membantu menerangkan kepada masyarakat mengenai fenomena itu dan kesannya dalam kehidupan seharian.

Dalam pada itu, Anita mengalu-alukan penyertaan termasuk badan bukan kerajaan, pihak pelancongan serta kerajaan Sabah melalui KSTI untuk memperhebatkan usahasama promosi astronomi.

"Selain mengenal pasti lokasi di Sabah yang boleh diwartakan sebagai kawasan pelancongan astronomi," katanya lagi.

Sementara itu, Yakub berkata, KSTI mengalu-alukan Planetarium Negara mengadakan program pencerapan gerhana matahari separa di Tawau pada tahun hadapan.

Mengenai Jelajah Astronomi katanya program itu berjaya menarik 14,000 orang hadir di tiga lokasi jelajah yang diadakan di Sandakan, Lahad Datu serta Tawau dan ini membuktikan ilmu astronomi mampu menarik minat masyarakat di Sabah.

"Penganjuran program ini merupakan kolaborasi ketiga di antara KSTI dan Planetarium Negara selepas Karnival Sains Sabah 2021 dan Pertandingan Video Pendek Kelestarian Alam Semesta," katanya.

Menurutnya program jelajah astronomi itu satu platform dan usaha kerajaan untuk menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat dalam meningkatkan kadar bilangan pelajar bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) di Sabah yang ketika ini baru mencapai 27 peratus. - Bernama