Tindakan lebih keras terhadap penghina nabi

Shahrul Fadhel
Shahrul Fadhel
A
A
A

KOTA BHARU - Pemuda UMNO Kelantan menuntut tindakan yang lebih keras dikenakan terhadap pegawai parti pemerintah India yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW baru-baru ini.

Naib Ketua Pemuda Kelantan, Shahrul Fadhel Mohd Aziz berkata, pihaknya mengecam keras tindakan menghina junjungan besar Nabi Muhammad SAW oleh Ahli Parlimen India tersebut, Nupur Sharma yang juga jurucakap rasmi Parti Bharatiya Janata (BJP) itu.

“Pemuda UMNO Kelantan mengecam keras tindakan menghina Nabi Muhammad SAW oleh Sharma yang juga jurucakap BJP iaitu parti pemerintah dianggotai Perdana Menteri India, Narendra Modi.

“Tindakan Modi mengantung Sharma dari BJP tidak cukup bagi kami dan menuntut tindakan yang lebih keras,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, sebagai umat Islam, kenyataan penghinaan tersebut tidak boleh diterima sama sekali dan menuntut Sharma memohon maaf.

“Kami juga menuntut satu tindakan konkrit yang jelas dari kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra demi memberi pengajaran kepada BJP dan kerajaan India,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, gelombang kemarahan semakin meluas di Asia Barat berikutan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW oleh Sharma malah sebuah pasar raya di Kuwait memunggah keluar produk India dari rak jualannya.

Kenyataan Sharma yang ke udara melalui televisyen minggu lalu, mencetuskan bantahan dan kemarahan umat Islam di India serta pelbagai negara Islam selain ramai menuntut wanita itu ditahan.

BJP yang sering dituduh bertindak ke atas golongan minoriti Muslim di India, menggantung Sharma kerana memberi pandangan tersebut yang didakwa bertentangan dengan pendirian parti.