MBPJ pelbagaikan saluran aduan

Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain bergambar ketika melancarkan aplikasi berkenaan.
Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain bergambar ketika melancarkan aplikasi berkenaan.
A
A
A

PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membangunkan aplikasi telefon pintar yang dikenali sebagai e-Aduan MBPJ untuk pelbagaikan saluran aduan orang awam.

Menerusi satu kenyataan, Seketeriat Media Unit Komunikasi Korporat MBPJ memaklumkan bahawa pembangunan aplikasi itu adalah alternatif kepada saluran aduan sedia ada, namun ia lebih bersifat mesra pelanggan dan holistik.

"Setiap aduan boleh disalurkan melalui telefon pintar pengguna dengan menyertakan foto dan lokasi kejadian selain diintegrasikan dengan fungsi Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) dan Sistem Maklumat Geografi (GIS),

"Pengintegrasian ini adalah bagi mengenal pasti lokasi aduan dengan lebih tepat dan seterusnya memudahkan tindakan susulan diambil MBPJ," katanya.

Selain itu, kenyataan itu berkata pengguna hanya perlu memilih, meletakkan lokasi aduan, memilih jenis aduan, mengisi keterangan aduan atau memuat turun foto aduan sebelum memanjangkan permasalahan itu kepada MBPJ.

Menurutnya, melalui aplikasi ini, pengguna juga boleh membuat bayaran dan semakan kompaun, semakan cukai taksiran dan lain-lain perkhidmatan dengan menekan pautan perkhidmatan online https://embpj.mbpj.gov.my di ruangan bar menu utama.

"Pelancaran aplikasi mudah alih e-Aduan MBPJ ini pendekatan proaktif dalam memastikan hubungan antara penduduk Petaling Jaya dan Majlis dipertingkatkan melalui keadah digital selaras perkembangan teknologi dan peningkatan penggunaan telefon pintar di Malaysia oleh demografik masyarakat.

"Inisiatif ini juga selari dengan misi Kerajaan Selangor ke arah Smart Selangor menjelang tahun 2025 dan MBPJ juga akan memastikan Petaling Jaya diiktiraf sebagai salah sebuah bandar raya pintar atau smart city di Malaysia melalui operasi bangunan SMART PJ dan Mini Smart Centre (MSC)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, orang ramai boleh memuat naik aplikasi ini secara percuma melalui rangkaian Play Store dan App Store.