Republik Czech perlu kekal fokus

Silhavy - Foto insidesport.com
Silhavy - Foto insidesport.com
A
A
A

KESEBELASAN Republik Czech diharap dapat mengekalkan fokus sehingga ke penghujung perlawanan dalam usaha merealisasikan kemenangan ketika berdepan Portugal pada aksi Liga Negara-Negara UEFA, Jumaat ini.

Menurut pengendali skuad The Locomotive, Jaroslav Silhavy, kegagalan berbuat demikian (mengekalkan fokus) boleh menyebabkan skuad kendaliannya itu berdepan kemungkinan gagal meraih mata sebagaimana yang diharapkan-harapkan.

“Kita hampir mencatatkan kemenangan dengan Sepanyol tempoh hari... kita juga mendahului mereka sebanyak dua kali.

“Malangnya, kita sedikit terleka pada penghujung perlawanan dan kesempatan itu dimanfaatkan sebaiknya oleh mereka (Sepanyol) untuk menyamakan kedudukan.

“Justeru, saya mengingatkan pemain untuk kekal fokus di sepanjang perlawanan dalam usaha memastikan kita dapat meraih mata yang diingini,” katanya.

Untuk rekod, Republik Czech kini berada kedudukan kedua Kumpulan 2, Liga A dengan empat mata hasil kemenangan 2-1 ke atas Switzerland pada 3 Jun lalu dan seri dengan Sepanyol pada 6 Jun.

Sementara itu, Silhavy mengakui tidak pernah menyangka skuad kendaliannya itu mampu untuk meraih empat mata dan berada kedudukan kedua peringkat kumpulan ketika ini.

Malah Silhavy turut meramalkan pihaknya bakal berdepan laluan sukar apabila diundi beraksi bersama tiga pasukan handalan seperti Switzerland, Sepanyol dan Portugal dalam kumpulan yang sama.

“Tidak keterlaluan rasanya untuk saya labelkan kumpulan ini sebagai antara kumpulan yang mencabar pada saingan Liga Negara-Negara UEFA kali ini.

“Untuk itu, kesemua pemain diharap dapat memberikan aksi terbaik bagi mencatatkan kemenangan ke atas Portugal,” katanya.