Southgate puji aksi Kane ledak gol ke-50 peribadi untuk England

Kane meraikan jaringannya ketika membantu England mengikat Jerman di Allianz Arena awal pagi tadi.
Kane meraikan jaringannya ketika membantu England mengikat Jerman di Allianz Arena awal pagi tadi.
A
A
A

PENGENDALI England, Gareth Southgate memuji persembahan dipamerkan anak buahnya terutama penggempur utama The Three Lions, Harry Kane yang berjaya menjaringkan gol penyamaan apabila berjaya mengikat Jerman 1-1 di Munich dalam aksi Liga Negara-Negara Eropah (UNL), awal pagi tadi.

Menurut Southgate, pemain Tottenham Hotspur itu bukan sahaja menyumbang kepada gol penting buat England, malah Kane turut menampilkan aksi yang sempurna untuk pasukannya meraih mata pada perlawanan tersebut.

“Berdasarkan mutu permainannya secara keseluruhan pada perlawanan ini, baik dari cara menyerang atau bertahan, dia (Kane) menampilkan aksi yang luar biasa.

“Malah ada satu ketika dia turun membantu di bahagian pertahanan, sekali gus berjaya membantu meredakan tekanan di bahagian tersebut.

“Saya tahu orang akan cakap dia terlalu ke bawah pada perlawanan ini, namun kami memerlukan seorang pemain yang boleh membantu menghubungkan permainan,” katanya.

Pada perlawanan tersebut, Jerman terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Jonas Hofmann yang berjaya merembat masuk gol tuan rumah di Allianz Arena.

Hasrat tuan rumah untuk meraih tiga mata penuh pada perlawanan tersebut tidak kesampaian apabila Kane menyempurnakan sepakan penalti lewat perlawanan yang juga merupakan gol antarabangsa ke-50 buat pemain itu.

“Ia satu perasaan yang sangat hebat apabila berjaya menjaringkan gol.

“Bagi saya, ia satu yang memalukan buat kami sekiranya kami gagal untuk mendapatkan jaringan pada perlawanan ini,” kata Kane.

Untuk rekod, Kane kini menduduki tempat kedua penjaring terbanyak England, selepas berjaya melepasi jumlah 49 gol Bobby Charlton dan kini hanya dibezakan dengan tiga gol berbanding Wayne Rooney yang kini berada di kedudukan pertama.