Malaysia bersama negara Islam kutuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad

Laporan SInar Harian berkaitan isu berkenaan pada Selasa.
Laporan SInar Harian berkaitan isu berkenaan pada Selasa.
A
A
A

MALAYSIA mengikuti langkah beberapa negara Islam dunia apabila bertindak memanggil Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B Nagabhushana Reddy berhubung kenyataan dua ahli politik negara itu yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Tindakan Malaysia itu dibuat selepas negara jiran Indonesia turut melakukan perkara yang sama memanggil Duta India di Jakarta dan menyerahkan surat bantahan berhubung perkara itu yang disahkan oleh Kementerian Hal Ehwal Luar Indonesia pada Selasa.

Kini Malaysia, Indonesia bersama Qatar, Kuwait, Iran, Arab Saudi dan negara Islam lain senada mengutuk kenyataan ahli politik parti pemerintah India yang didakwa menghina Islam.

Kementerian Luar Malaysia menerusi kenyataannya pada Selasa memaklumkan, Reddy dipanggil ke kementerian itu pada petang Selasa.

"Malaysia mengalu-alukan keputusan parti pemerintah India untuk menggantung ahli parti terbabit berikutan kenyataan provokasi yang telah menimbulkan kemarahan umat Islam," katanya.

Kementerian itu berkata, Malaysia menyeru India untuk bekerjasama dalam menamatkan Islamofobia dan menghentikan sebarang tindakan provokasi demi keamanan dan kestabilan sejagat.

Sebelum ini Qatar turut menuntut permohonan maaf daripada India pada Ahad.

Menurut Kementerian Luar Qatar, penghinaan itu menunjukkan kejahilan tentang peranan penting Islam dalam pembangunan tamadun di seluruh dunia, termasuk di India.

Manakala, Kementerian Luar Arab Saudi dalam satu kenyataan turut mengecam kenyataan yang dibuat jurucakap Perdana Menteri India, Nupur Sharma yang disifatkan menghina Nabi Muhammad.

Begitu juga dengan Kementerian Luar Iran turut memanggil duta India ke Iran. Kementerian Luar Kuwait juga dilaporkan telah menyerahkan nota bantahan kepada duta India di Kuwait.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, Imam Masjidil Haram di Mekah, Sheikh Abdul Rahman Al Sudais; Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Nayef Falah Mubarak Al Hajraf dan jurucakap kerajaan sementara Afghanistan Zabihullah Mujahid adalah antara yang turut mengutuk kenyataan melampau itu.