Hina Nabi Muhammad: Pesuruhjaya Tinggi India dipanggil

Dari kiri: B Nagabhushana Reddy - Foto Twitter dan Nupur Sharma - Foto BBC
Dari kiri: B Nagabhushana Reddy - Foto Twitter dan Nupur Sharma - Foto BBC
A
A
A

PUTRAJAYA - Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B Nagabhushana Reddy dipanggil oleh Kementerian Luar Negeri (KLN) bagi menyampaikan penyangkalan berhubung kenyataan dua ahli politik negara itu yang menghina Nabi Muhammad SAW.

KLN menerusi kenyataannya memaklumkan, Reddy dipanggil ke kementerian itu pada petang Selasa.

"Malaysia mengalu-alukan keputusan parti pemerintah India untuk menggantung ahli parti terbabit berikutan kenyataan provokasi yang telah menimbulkan kemarahan umat Islam," katanya.

Kementerian itu berkata, Malaysia menyeru India untuk bekerjasama menamatkan Islamofobia dan menghentikan sebarang tindakan provokasi demi keamanan dan kestabilan sejagat.

"Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan yang menghina Nabi Muhammad SAW oleh dua orang ahli politik India," katanya.

Langkah sama diambil Indonesia, Qatar, Kuwait, Iran, Arab Saudi dan negara Islam lain mengutuk kenyataan ahli politik politik terbabit.

Parti pemerintah India, Parti Bharatiya Janata (BJP), pada Ahad menggantung jurucakapnya, Nupur Sharma yang didakwa membuat kenyataan menghina dalam debat televisyen dan Naveen Jindal atas komennya dalam media sosial.