Kes HFMD di Pulau Pinang meningkat 22 kali ganda

Kanak-kanak berusia enam tahun paling ramai dijangkiti HFMD di Pulau Pinang dengan 3,357 kes. (Gambar kecil: Dr Norlela)
Kanak-kanak berusia enam tahun paling ramai dijangkiti HFMD di Pulau Pinang dengan 3,357 kes. (Gambar kecil: Dr Norlela)
A
A
A

GEORGETOWN - Sebanyak 3,990 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di Pulau Pinang bagi minggu epid 23.

Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Norlela Ariffin berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 22 kali ganda dalam tempoh sama pada tahun lalu dengan hanya 176 kes.

Menurutnya, pada 2019, jumlah kumulatif kes 1,727 itu menunjukkan peningkatan 1.3 kali ganda jika dibandingkan dalam tempoh sama tahun ini.

"Ketika negara dilanda pandemik Covid-19 pada tahun lalu, kes HFMD hanya merekodkan 176 kes.

"Bagaimanapun, dalam tempoh sama pada tahun ini, jumlah kumulatif kes HFMD meningkat 22 kali ganda dengan jumlah 3,990 kes," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Dr Norlela berkata, daripada jumlah itu, daerah Barat Daya mencatatkan kes terbanyak dengan 988 kes (24.8 peratus), diikuti Seberang Perai Tengah 867 kes (21.7 peratus), Seberang Perai Utara 826 kes (20.7 peratus), Timur Laut 786 kes (19.7 peratus) dan Seberang Perai Selatan 523 kes (13.1 peratus).

"Sehingga minggu epid 22, sebanyak 119 kluster HFMD dilaporkan berbanding hanya tujuh pada 2021 dengan peningkatan 16 kali ganda.

"Kes HFMD tertinggi banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia enam tahun dengan 3,357 kes (88.65 peratus) diikuti oleh kumpulan berusia tujuh hingga 12 tahun iaitu 377 kes (9.45 peratus), manakala selebihnya berusia lebih 12 tahun membabitkan 256 kes (1.9 peratus)," katanya.

Sebelum ini, sejumlah 65,535 kes HFMD direkodkan setakat 28 Mei lalu iaitu peningkatan 27 kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun 2021 yang hanya mencatatkan 2,333 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes dilaporkan bagi minggu epidemiologi (ME) 21/2022 adalah 18,602 kes berbanding ME 20/2022 iaitu hanya 15,548 kes di seluruh negara, di mana peningkatan sebanyak 19.6 peratus.

Dalam tempoh sama, Selangor menyumbang jumlah kes terbesar berbanding negeri-negeri lain dengan 18,525 kes (28.27 peratus) diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 8,088 kes (12.34 peratus); Perak 5,810 kes (8.87 peratus); Kelantan 4,905 kes (7.48 peratus) dan Sabah 4,077 kes (6.22 peratus).

Sementara itu, negeri-negeri lain sekitar atau kurang daripada 4,000 kes.