Pembangkang desak Hishammuddin ambil tindakan hak veteran ATM

Anwar
Anwar
A
A
A

SHAH ALAM – Pembangkang mendesak Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengambil tindakan segera berhubung perkara melibatkan hak veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu berkenaan sudah beberapa kali dibawa ke Parlimen.

Beliau memberitahu telah mengikuti perkembangan perhimpunan aman veteran ATM di Tugu Negara pada Isnin.

“Ternyata mereka ini tiada pilihan lain untuk menegakkan hak dan beberapa perkara lain selepas gagal mendapat perhatian Kementerian Pertahanan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Veteran ATM sebelum ini dilapor mengambil jalan mengadakan perhimpunan secara aman selepas lapan tahun cuba memperjuangkan hak mereka mengikut saluran betul.

Pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Meor Rosli Meor Mohd Jaafar berkata, desakan itu bukan bermotif politik sebaliknya bertujuan mendapatkan perhatian Kementerian Pertahanan supaya tidak terus mengetepikan hak veteran ATM.

Mengulas lanjut, Anwar yang merupakan Pengerusi PH turut menggesa suara golongan veteran ATM yang telah banyak berjasa kepada negara ini tidak diabaikan.