Tidak hadir mesyuarat PAC bukti MP Pembangkang letak jawatan

Ismail Sabri - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
Ismail Sabri - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu ketidakhadiran tiga Ahli Parlimen Pembangkang dalam mesyuarat prosiding siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) semalam adalah isyarat mereka telah meletak jawatan.

Katanya, tindakan tersebut jelas walaupun Ahli Parlimen BN dan Pas itu belum menghantar surat peletakan jawatan kepada kepimpinan PAC.

“Mereka sudah letak jawatan cuma daripada segi formaliti penghantaran surat (peletakan jawatan) itu saya tidak pasti.

“Tapi berdasarkan tindakan mereka tidak hadir dalam mesyuarat semalam, jelas menunjukkan Ahli Parlimen pembangkang sudah meletak jawatan,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bera menyangkal dakwaan peletakan jawatan Ahli Parlimen pembangkang Isnin lalu adalah tidak rasmi.

“Apabila semua tak hadir mesyuarat semalam kira sudah letak jawatanlah. Serupa dengan Ahli Parlimen yang menang pilihan raya tetapi tidak mengangkat sumpah,” katanya.

Semalam, Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengesahkan kesemua Ahli Parlimen pembangkang tidak menghadiri mesyuarat prosiding siasatan kontrak pelaksanaan sistem permit masuk kenderaan (VEP).

ARTIKEL BERKAITAN: Semua ahli PAC pembangkang letak jawatan

Artikel Berkaitan:

Jelas Ahli Parlimen Beluran itu, pihaknya belum menerima salinan surat peletakan jawatan anggota PAC itu.

Isnin lalu, semua Ahli Parlimen pembangkang yang menganggotai PAC meletak jawatan serta-merta sebagai membantah keputusan mengekalkan pengerusinya kepada wakil kerajaan.

Mereka ialah Ahli Parlimen (Parit Sulong- BN) Datuk Dr Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen (Kota Bharu-Pas) Datuk Takiyuddin Hassan serta Ahli Parlimen (Jasin- BN)Datuk Seri Ahmad Hamzah.