‘Matlamat dan cita-cita dia satu sahaja’

Najib (kiri) dan Muhyiddin
Najib (kiri) dan Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - ‘Perang’ antara dua bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali panas susulan timbulnya dakwaaan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh ingin kembali menjadi Perdana Menteri.

Dalam hantaran terbaharu di Facebook pada Isnin, Najib secara sinis mendakwa Muhyiddin sememangnya berhasrat untuk kembali menjadi pemimpin nombor satu negara.

Malah katanya, bagi ‘menutup’ dakwaan itu, ‘geng’ Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) cuba memainkan propaganda bahawa Muhyiddin dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2014 disebabkan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Sudah banyak kali saya jelaskan dan tunjukkan bukti bahawa Muhyiddin dipecat sebagai Timbalan PM pada tahun 2014 sebab dia sudah berkomplot dengan Mahathir dan Mukhriz sejak tahun 2014 untuk tumbangkan saya.

“Dan dia dipecatkan oleh jawatankuasa UMNO sebab dia berkempen atas pentas yang sama dengan geng PH di acara menipu ‘Selamatkan Malaysia’. Sudah-sudahlah dengan propaganda korang.

“Matlamat dan cita-cita dia satu sahaja. Kamu tahu dan kami pun dah lama faham. Jika tidak, kenapa pulak dia kumpul semua katak dengan 'scheme of things' untuk memimpin sebuah parti yang bahagian besarnya terdiri daripada katak politik?” ujarnya.

Najib dalam masa sama turut mencabar penyokong Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu supaya menjawab persoalan daripadanya.

Antara persoalan yang dibangkitkan Najib ialah berhubung sama ada Muhyiddin mengkhianati Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan (PH) serta lain-lain disebabkan isu sama.

“Adakah dia khianat (Tun Dr) Mahathir dan Pakatan Harapan (PH) sebab 2MDB? Kali ini dia berjaya jadi PM.

“Adakah dia derhaka pada YDPA dan Raja-raja Melayu sebab 3MDB? Kali ini dia tak berjaya kekalkan jawatan PM.

"Adakah dia melutut kepada geng PH dalam cubaan dapat sokongan 119 ahli Parlimen secara senyap untuk khianat dan tumbangkan Ismail sebab 4MDB? Nampaknya kali ini juga dia masih tak berjaya untuk kembali sebagai PM," katanya.