Bayaran permit tahunan Bukit Kledang ditangguh: MB Perak

Saarani ketika program Moh Mengopi Bersama DSSM di Pasar Awam Tapah, pada Isnin.
Saarani ketika program Moh Mengopi Bersama DSSM di Pasar Awam Tapah, pada Isnin.
A
A
A

TAPAH - Kerajaan Perak menangguhkan sementara bayaran permit tahunan bagi memasuki Bukit Kledang di kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong, Daerah Kinta yang ditetapkan Jabatan Perhutanan negeri mulai 1 Julai 2022.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Perhutanan negeri untuk menyediakan kertas makluman mengenai perkara itu.

Menurutnya, keputusan itu juga akan dibincangkan di dalam mesyuarat exco kerajaan negeri.

"Saya pun nak kena tahu apa asasnya, apa rasionalnya, siapa yang terkesan kita akan ambil tahu. Sudah tentu daripada yang dilaporkan itu, kita akan bincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri.

"Sementara itu pelaksanaannya ditangguhkan sehingga satu kenyataan dibuat berkaitan keputusan tersebut," katanya kepada pemberita selepas program Moh Mengopi Bersama DSSM di Pasar Awam Tapah, di sini pada Isnin.

Sementara itu, Saarani berkata, keputusan itu tidak sepatutnya dipolitikkan sebaliknya boleh terus rujuk kerajaan negeri untuk penjelasan lanjut.

Jabatan Perhutanan Perak dilaporkan akan menguatkuasakan bayaran tahunan bagi permit memasuki Bukit Kledang, Ipoh berkuat kuasa 1 Julai depan selaras dengan Seksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984.

Keputusan itu mendapat bantahan daripada orang ramai.