Salur air Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah atasi penyusutan air

Saarani menyantuni peniaga selepas program Moh Mengopi Bersama DSSM di Pasar Awam Tapah, pada Isnin.
Saarani menyantuni peniaga selepas program Moh Mengopi Bersama DSSM di Pasar Awam Tapah, pada Isnin.
A
A
A

TAPAH - Kerajaan negeri akan menyalurkan air dari Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah sebagai langkah jangka panjang mengatasi masalah penyusutan air yang menjejaskan kawasan Jelapang Padi Kerian.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada kerajaan pusat untuk dilaksanakan kerana membabitkan sejumlah kos yang agak besar.

"Jabatan teknikal iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Lembaga Air Perak (LAP) sedang buat kajian terperinci kerana memang ada keperluan untuk salurkan air ke Tasik Bukit Merah. Kita harap boleh dapat bantuan segera untuk atasi masalah pengairan padi," katanya kepada pemberita selepas program Moh Mengopi Bersama DSSM di Pasar Awam Tapah, di sini pada Isnin.

Saarani berkata, disebabkan itu kerajaan tidak dapat menyalurkan air ke Pulau Pinang disebabkan masalah kekurangan air untuk keperluan domestik.

Menurutnya, Tasik Bukit Merah sering mengalami pengurangan air terutama musim kemarau disebabkan takungan buatan dan hanya mengharapkan air hujan.

Tasik Bukit Merah sebelum ini mengalami penyusutan paras air yang sekali gus mengancam tanaman padi seluas 12,400 hektar melibatkan seramai 4,720 pesawah di kawasan Gunung Semanggol dan Selinsing susulan kemarau.