Aksi sengit warnai kejuaraan muay Thai

Khausem (lima dari kanan) bersama tali pinggang yang dimenanginya dalam Kejohanan KWP-RXD BULL DBKL Kuda Merah Muaythai Challenge 2022 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, pada Sabtu. Foto SINAR HARIAN/SINAR HARIAN MOHD HALIM AB
Khausem (lima dari kanan) bersama tali pinggang yang dimenanginya dalam Kejohanan KWP-RXD BULL DBKL Kuda Merah Muaythai Challenge 2022 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, pada Sabtu. Foto SINAR HARIAN/SINAR HARIAN MOHD HALIM AB
A
A
A

PUKULAN ‘teknikal knock out’ (TKO) dan 'knock out' (KO), mewarnai hari pertama Kejohanan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP)-RXD BULL Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Kuda Merah Muaythai Challenge 2022 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Kejohanan yang menampilkan 10 petinju dari dalam dan luar negara itu menampilkan lima perlawanan melibatkan lima serta tiga pusingan dengan pemenang setiap perlawanan ditentukan mengikut kiraan mata.

Perlawanan tumpuan terarah kepada pertembungan Kategori Superfight lima pusingan merebut Tali Pinggang Datuk Seri Johari Abd Ghani menemukan petinju Kelab Kuda Merah PDRM, Muhammad Salihem Mohamad menentang Issaal Vethar Money dari Kelab Muaythai Selendang Kuning.

Namun Vethar Money terpaksa menarik diri pada saat akhir apabila menghadapi masalah kesihatan digantikan dengan seorang lagi petinju ternama dari Thailand, Den Khausem.

Muhammad Salihem yang lebih dikenali Rohim Apollo tampil menggalas imej PDRM demi lencana di dada ternyata memberi tentangan sengit kepada lawannya yang jauh berpengalaman dan memiliki kelebihan fizikal sebelum akur pukulan TKO petinju dari Thailand itu di pusingan keempat.

Zain Mohd Zain (kanan) melepaskan pukulan siku kepada Hafize Abd Rahman pada aksi Superfight tiga pusingan merebut trofi MASWIP. - Foto SINAR HARIAN/SINAR HARIAN MOHD HALIM AB
Zain Mohd Zain (kanan) melepaskan pukulan siku kepada Hafize Abd Rahman pada aksi Superfight tiga pusingan merebut trofi MASWIP. - Foto SINAR HARIAN/SINAR HARIAN MOHD HALIM AB

Kejohanan edisi ke-69 turut diserikan lagi dengan kehadiran Penaung Diraja Kelab Muay Thai Kuda Merah, Tengku Sharifuddin Shah Tengku Sulaiman Shah, Datuk Seri Johari Abd Ghani (penaung), wakil Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Arman Azhar dan Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang juga penasihat media kelab muay Thai berkenaan.

Pertarungan Superfight bagi merebut Tali Pinggang Blues Brothers sebelum itu dimenangi petinju Kelab Muaythai Ara, Muhammad Rasyidi Mat Rafi yang menewaskan petinju Kelab Muay Thai Raja Lebah Kedah, Muhammad Azril Haikal Azman dengan pukulan KO pada pusingan kedua.

Pertarungan ketiga Superfight lima pusingan pula menyaksikan satu lagi keputusan KO apabila petinju Persatuan Muaythai Negeri Melaka, Wan Muhammad Sabri menewaskan petinju Kelab Muaythai Kuda Merah PDRM, Muhammad Rais Juanaidi pada pusingan pertama bagi meraih Tali Pinggang Sinar Harian.

Biarpun Muhammad Rais mendominasi pertarungan menerusi asakan bertalu-talu terhadap Wan Muhammad Sabri, namun menerusi satu pukulan balas tepat ke sasaran menyebabkan Muhammad Rais rebah dan seterusnya mengesahkan kemenangan Wan Muhammad Sabri.

Sebelum itu, pertarungan Superfight lima pusingan bagi merebut Tali Pinggang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyaksikan petinju Kelab Muaythai Bara Emas Kuala Lumpur, Araysh Ubaidullah yang menggantikan abangnya, Amirul Shafiq Ubaidullah menewaskan pertinju Kelab Muaythai Saga Red Wolves, Noel Krishten.

Aksi Araysh Ubaidullah (kiri), berdepan Noel Krishten bagi merebut tali pinggang DBKL. - Foto SINAR HARIAN/SINAR HARIAN MOHD HALIM AB
Aksi Araysh Ubaidullah (kiri), berdepan Noel Krishten bagi merebut tali pinggang DBKL. - Foto SINAR HARIAN/SINAR HARIAN MOHD HALIM AB

Pertarungan berlangsung sengit menyaksikan kedua-dua petinju saling berbalas serangan, namun pihak juri memutuskan memberikan kemenangan kepada Araysh.

Bagi aksi Superfight tiga pusingan, petinju Kelab Muaythai Blueprint Martial Art, Zain Mohd Zain menewaskan petinju Kuda Merah Selatan Johor, Hafize Abd Rahman bagi memenangi Tali Pinggang Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP).