Empat beradik sanding serentak

Subhi (tengah) dan Rohani bersama empat pengantin itu pada majlis persandingan anaknya di Felda Bukit Cherakah 2, Kapar pada Ahad.
Subhi (tengah) dan Rohani bersama empat pengantin itu pada majlis persandingan anaknya di Felda Bukit Cherakah 2, Kapar pada Ahad.
A
A
A

KLANG - Empat beradik lelaki mencipta kelainan apabila memilih tarikh sama untuk bersanding dalam satu majlis perkahwinan di Felda Bukit Cherakah 2, Kapar di sini pada Ahad.

Anak kepada pasangan Subhi Othman, 66, dan Rohani Md Tan, 62, itu sebelum ini mengadakan majlis akad nikah selang sebulan sejak November tahun lalu.

Anak pasangan itu ialah Muhammad Aizas, 32, yang mengahwini Nur Azrina Mohd Aslan, 32; Muhammad Afizi, 29, dengan pasangannya, Nur Azlin Suyun, 37; dan Muhammad Azmir, 28, dengan Nurul Anis Yusof, 28.

Selain itu, anak bongsu, Muhammad Alfian, 24, pula memilih Nurul Hafizah Abu Bakar, 24, sebagai teman hidupnya.

Subhi berkata, majlis perkahwinan yang tertangguh akibat pandemik Covid-19 sejak tahun lalu itu berjalan lancar.

"Pada awalnya, kami merancang untuk melangsungkan majlis itu dengan hanya melibatkan Muhammad Aizas pada Jun tahun lalu

"Bagaimanapun tiga lagi anak lelaki saya juga bersetuju untuk mengadakan majlis persandingan pada tarikh sama. Setelah berbincang, akhirnya kami bersepakat untuk menganjurkan persandingan serentak dan turut dipersetujui kedua pihak keluarga pengantin," katanya ketika ditemui pada Ahad.

Menurut Subhi, persandingan empat anak lelakinya itu tidak mungkin dilupakan selepas anak perempuannya mendirikan rumah tangga pada 2015.

Pengantin lelaki yang juga anak sulung, Muhammad Aizas berkata, sudah tentu majlis perkahwinannya diingati kerana ia turut dikongsi dengan tiga lagi adiknya.

Malah katanya, ia sesuatu yang istimewa dan dianggap sebagai hadiah kepada ibu dan bapa yang bersusah payah membesarkan mereka sekeluarga.

"Jasa dan linangan air mata kegembiraan mereka tidak mungkin dapat kami ganti sehingga ke akhir hayat," katanya.