Padah guna 'strobe light' tanpa kebenaran

Pegawai JPJ Pahang mengeluarkan saman ke atas pemandu kenderaan perdagangan yang dikesan menggunakan lampu 'strobe light' tanpa kebenaran pada Sabtu. - Foto Facebook JPJ PAHANG
Pegawai JPJ Pahang mengeluarkan saman ke atas pemandu kenderaan perdagangan yang dikesan menggunakan lampu 'strobe light' tanpa kebenaran pada Sabtu. - Foto Facebook JPJ PAHANG
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mengeluarkan 16 notis saman terhadap pemandu kenderaan perdagangan atas kesalahan menggunakan lampu 'strobe light' dan 'spot light' tanpa kebenaran.

Kesalahan itu dikesan selepas pemeriksaan ke atas 30 kenderaan perdagangan dalam operasi khas 'strobe light' di sekitar bandar Kuantan pada Sabtu.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, operasi yang bermula jam 12 tengah malam hingga 9 pagi itu dilakukan selepas menerima rungutan dan aduan orang ramai.

Menurutnya, orang ramai terutama pengguna jalan raya tidak senang dengan penggunaan lampu tersebut pada kenderaan persendirian dan perdagangan kerana mengganggu penglihatan dan tumpuan sehingga membahayakan mereka.

"Peruntukkan undang-undang menggariskan, mana-mana individu yang mengubah suai kenderaan dengan mengaplikasikan penggunaan lampu jenis itu tanpa kebenaran merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan.

"Berdasarkan Kaedah 9, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 195, hanya kenderaan dalam tugas kecemasan seperti ambulans, kenderaan bomba, kastam, polis, kenderaan penjara dan kenderaan JPJ sahaja dibenarkan menggunakan lampu tersebut, " katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Kamarul Iskandar berkata, penggunaan lampu itu pada kenderaan persendirian dan perdagangan tanpa kebenaran menjadi satu kesalahan mengikut Peraturan 138 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 17.