England tak patut tewas

Pemain Hungary, Szoboslai menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-66 bagi memastikan kemenangan Hungary. - Foto AFP via GettyImages
Pemain Hungary, Szoboslai menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-66 bagi memastikan kemenangan Hungary. - Foto AFP via GettyImages
A
A
A

PENGENDALI England, Gareth Southgate menyifatkan skuad kendaliannya tidak seharusnya tewas 0-1 kepada Hungary pada aksi Kumpulan C, Liga Negara-Negara UEFA di Puskas Arena pada Ahad.

Menurut Southgate, skuad Three Lions itu seharusnya memenangi perlawanan berkenaan atau sekurang-kurangnya melakar keputusan seri bagi memulakan saingan liga berkenaan.

“Kita tidak seharusnya tewas pada perlawanan ini. Tidak... mungkin juga kita seharusnya mencatatkan keputusan seri dan itu lebih baik.

“Bagaimanapun, perlawanan sudah pun berakhir dan tidak ada apa yang boleh kita lakukan untuk mengubah keputusan.

“Kita terima keputusan (kekalahan) ini selain menerima hakikat bahawa kita sebenarnya tidak beraksi dengan baik bagi memastikan kemenangan,” katanya.

Pada pembukaan Kumpulan C itu, pemain Hungary, Dominik Szoboszlai menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-66 bagi mengesahkan kemenangan.

Dua tonggak England, Harry Maguire dan Harry Kane kelihatan kecewa dengan kekalahan 0-1 kepada Hungary. - Foto football365.com
Dua tonggak England, Harry Maguire dan Harry Kane kelihatan kecewa dengan kekalahan 0-1 kepada Hungary. - Foto football365.com

Mengulas mengenai aksi kesebelasan England, Southgate berkata, kesemua pemain telah beraksi dengan baik di sepanjang perlawanan.

Bagaimanapun katanya, jentera serangan pasukan dilihat masih gagal untuk menembusi benteng pertahanan dan merobek gawang lawan.

“Jentera serangan kita perlu lebih ‘tajam’ ketika berada dalam kotak penalti lawan. Dalam perlawanan ini, ia tidak berlaku.

“Oleh itu, ada banyak kerja yang perlu kita lakukan selepas ini dan antaranya adalah bagi memastikan ketajaman jentera serangan pasukan,” katanya.