Lebih 700 kes cacar monyet seluruh dunia

Lebih daripada 700 kes cacar monyet dilaporkan di seluruh dunia sehingga Jumaat. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
Lebih daripada 700 kes cacar monyet dilaporkan di seluruh dunia sehingga Jumaat. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
A
A
A
WASHINGTON - Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat memaklumkan bahawa lebih daripada 700 kes cacar monyet dilaporkan di seluruh dunia sehingga Jumaat.

Daripada jumlah itu, sebanyak 21 kes dilaporkan di AS dengan jangkitan dikatakan sedang merebak di dalam negara.

Menurut laporan CDC, 16 daripada 17 kes pertama yang direkodkan di AS membabitkan individu lelaki yang terlibat dengan hubungan seks sejenis, manakala 14 lagi berkaitan perjalanan.

Bagaimanapun semua pesakit telah pulih atau sedang menjalani pemulihan dan tiada kes kematian dilaporkan.

"Terdapat juga beberapa kes di AS mempunyai kaitan dengan kes-kes yang diketahui," kata Timbalan Pengarah Bahagian Patogen dan Patologi Kesan Tinggi CDC, Jennifer McQuiston.

"Kami juga mempunyai sekurang-kurangnya satu kes di AS yang tidak mempunyai kaitan sejarah perjalanan atau mengetahui bagaimana mereka mendapat jangkitan," tambah McQuiston.

Cacar monyet adalah penyakit yang jarang berlaku dan tidak seteruk cacar kecil dengan ia menyebabkan ruam, demam, menggigil dan lenguh.

Wabak ini biasanya merebak di bahagian Afrika Tengah dan Barat, namun kes telah dilaporkan di Eropah sejak Mei dan jumlah negara yang terjejas meningkat sejak itu.

Kanada juga mengeluarkan angka terbaharu pada Jumaat, dengan 77 kes yang disahkan - hampir semuanya dikesan di wilayah Quebec, di mana vaksin telah dihantar.

Walaupun penyebaran barunya mungkin dikaitkan dengan pesta gay tertentu di Eropah, cacar monyet tidak dianggap sebagai penyakit kelamin, sebaliknya faktor risiko utama adalah sentuhan kulit ke kulit dengan penghidap penyakit berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian keselamatan Kesihatan Global dan Biopertahanan Rumah Putih, Raj Panjabi berkata, sebanyak 1,200 vaksin dan 100 kaedah rawatan sudah dihantar ke seluruh negeri di AS, di mana ia ditawarkan kepada kontak rapat mereka yang dijangkiti.

Pada masa ini terdapat dua vaksin yang dibenarkan iaitu ACAM2000 dan JYNNEOS, yang pada asalnya dibangunkan untuk melawan cacar.

Walaupun cacar berjaya dihapuskan, AS masih menyimpan vaksinnya sebagai rizab negara, sekiranya ia digunakan sebagai senjata biologi.

CDC juga meluluskan dua antiviral bagi merawat cacar iaitu TPOXX dan Cidofovir, untuk disesuaikan bagi merawat cacar monyet. - AFP