Semarak Uniti Keluarga Malaysia jadi platform integrasi, perpaduan

Halimah (empat dari kiri) ketika melawat sekitar Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia pada Sabtu.
Halimah (empat dari kiri) ketika melawat sekitar Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia pada Sabtu.
A
A
A

JEMPOL- Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia menjadi platform integrasi sekali gus sebagai tapak mengeratkan jalinan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum bermula di peringkat akar umbi.

Menteri Perpaduan Negara (KPN),Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, usaha ini adalah bagi menyokong Aspirasi Keluarga Malaysia yang berteraskan nilai-nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

"Ia tidak bersifat sementara sebaliknya berterusan dan diperluaskan ke seluruh negara meliputi peringkat daerah, Parlimen sehingga ke peringkat komuniti.

"Inilah pendekatan yang ditekankan oleh Kementerian Perpaduan Negara bagi memastikan program-program perpaduan dapat didengari, dilihat dan dirasai seluruh Keluarga Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program Semarak Uniti Keluarga Malaysia Peringkat Parlimen Jempol di Dewan Feldajaya Selatan, Bandar Seri Jempol pada Sabtu.

Halimah (tiga dari kanan) melihat persembahan tarian singa sebaik tiba pada program tersebut pada Sabtu.
Halimah (tiga dari kanan) melihat persembahan tarian singa sebaik tiba pada program tersebut pada Sabtu.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Noridah Abdul Rahim, Ahli Parlimen Jempol yang juga Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif dan Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, Teo Kok Seong.

Halimah berkata, antara pengisian program Semarak Uniti Keluarga Malaysia adalah rewang muafakat, sukan, citarasa menu, rumah Karib, Aksesibiliti, Majmuk dan Inklusiviti (KAMI), sembang KAMI dan KPN Prihatin.

Dalam perkembangan lain, Halimah berkata, Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) bagi mengukur tahap perpaduan dan keharmonian negara dijangka siap pada Julai ini.

Katanya, sebaik kajian yang dijalankan penyelidik daripada Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia ( UKM) itu siap ia akan dibentangkan kepada kabinet.