Untung tak dapat, wang pelaburan lesap

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang penjawat awam di Temerloh kerugian sebanyak RM20,130 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan saham emas, petroleum dan gas secara dalam talian.

Wanita berusia dalam lingkungan 44 tahun itu dikatakan melihat tawaran pelaburan melalui aplikasi TikTok pada penghujung bulan Mei lalu, kononnya menjanjikan keuntungan tinggi yang dibayar kepada pelabur dalam masa singkat.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Deputi Superintendan Yap Huat Tian berkata, suspek telah menawarkan empat pakej pelaburan sebaik sahaja mangsa menghubungi nombor telefon yang tertera dalam iklan terbabit.

"Mangsa berminat dan memilih pakej emas iaitu bayaran pelaburan sebanyak RM250. Suspek memberi jaminan dalam tempoh lapan hingga 12 jam mangsa akan menerima pulangan sebanyak RM7,800.

"Selepas itu, mangsa memberikan maklumat diri sepertimana yang telah diminta oleh suspek bagi memulakan pelaburan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut laporan itu, Huat Tian berkata, mangsa telah melakukan enam kali transaksi wang berjumlah RM20,130 ke dalam pelbagai akaun bank atas nama suspek yang berbeza bermula pada 28 Mei sehingga Khamis lalu.

Jelasnya, semua pemindahan wang yang dilakukan itu bagi tujuan pelaburan dan suspek kemudian meminta mangsa membayar sebanyak RM5,620 sebagai komisen staf pelaburan.

"Mangsa enggan membuat pembayaran dan merasakan dirinya telah ditipu dan segera tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh pada Jumaat.

"Siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihat orang ramai supaya tidak mudah mempercayai pelaburan yang boleh menjana keuntungan berlipat-ganda dalam masa yang singkat.

Tegasnya, sebaiknya semakan terhadap akaun bank atau panggilan telefon perlu dibuat jika merasakan curiga sebelum melakukan sebarang pemindahan wang.

"Semakan boleh dibuat melalui https://ccid.rmp.gov.my/semakmule," katanya.