Kejohanan Veteran Tertutup Johor 2022 himpun 'otai' takraw

Mohd Zainal memegang rofi Kejohanan Sepak Takraw Veteran Tertutup Johor 2022.
Mohd Zainal memegang rofi Kejohanan Sepak Takraw Veteran Tertutup Johor 2022.
A
A
A

SELEPAS dua tahun 'sunyi' akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kejohanan Sepak Takraw Veteran Tertutup Johor akan kembali diadakan di Stadium Tertutup Kluang, pada Sabtu.

Menurut penganjur yang juga bekas pemain kebangsaan era 80-an Mohd Zainal Othman atau lebih dikenali Pak Itam, kejohanan tersebut mendapat kerjasama daripada Persatuan Sepak Takraw Daerah Kluang.

“Penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Veteran Tertutup Johor 2022 ini bertujuan mengeratkan kembali hubungan dalam kalangan para pemain era 70-an dan 80-an yang sudah lama terpisah.

“Kejohanan ini akan diselitkan dengan program Jasamu Dikenang sebagai penghargaan kepada para pemain sepak takraw yang sebelum ini mengharumkan nama daerah Kluang, Johor dan Malaysia.

“Satu kutipan amal juga akan dibuat untuk sumbangan kepada keluarga legenda sepak takraw awal 1980-an, Allahyarham Rehan Mohammad Din yang meninggal dunia di Felda Air Tawar 3, Kota Tinggi baru-baru ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Antara bekas pemain yang akan diraikan pada program itu ialah Ahmad Ibrahim, Zainal Abidin Mohd Nor, Khastam Hasbi, Ibrahim Osman, Ali Esa dan Mokhtar Amran selain ahli keluarga Allahyarham Ahmad Karno dan Allahyarham Shukor Abu.

Kejohanan untuk kategori usia 44 tahun ke atas itu menawarkan hadiah utama kepada juara RM1,500; naib juara 1,000 dan tempat ketiga RM800 sehingga kini berjaya menarik penyertaan 25 regu.

Kepada yang mahu mengetahui lebih lanjut mengenai kejohanan itu, boleh menghubungi Abdul Halim Mat di talian 013-730 8858 atau Abdul Halim Md Dom (012-766 5682).