Wanita cedera ceroboh landasan trek LRT

LRT Sri Petaling - Foto sumber internet
LRT Sri Petaling - Foto sumber internet
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tindakan segera pemandu wanita memperlahankan pergerakan tren menyelamatkan seorang wanita warga asing yang menceroboh masuk ke landasan trek transit aliran ringan (LRT) laluan Sri Petaling malam tadi.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan pemandu tren tersebut, Roshada Shahida Abdul Rahim dimaklumkan oleh pusat kawalan operasi mengenai insiden pencerobohan pada jam 9.04 malam.

“Berdasarkan kemahiran dan latihan rapi dimiliki, Roshada terus bertindak mengikut prosedur operasi standard (SOP) memperlahankan pergerakan tren yang ketika itu sedang menuju ke arah Bandar Tun Razak.

“Tindakannya membantu mengelak tragedi lebih buruk berlaku kepada penceroboh yang dipercayai wanita warga Indonesia itu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, wanita berkenaan dipercayai masuk ke kawasan trek melalui pagar yang dipotong di kawasan laluan aras tanah atau ‘at grade’ antara Stesen Bandar Tun Razak dan Stesen Bandar Tasik Selatan.

Mangsa yang mengalami kecederaan di kaki dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM untuk rawatan.

“Keadaan malam semalam terlalu gelap untuk Roshada nampak penceroboh berada di trek lalu melanggar penceroboh berkenaan.

“Rapid Rail akan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan kes ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu lagi, insiden pencerobohan ke dalam trek menyebabkan gangguan dalam perkhidmatan LRT laluan Sri Petaling malam tadi.

Bekalan elektrik terpaksa dihentikan pada 9.05 malam untuk membolehkan kerja-kerja mengeluarkan penceroboh sekali gus menyebabkan perkhidmatan tergendala kira-kira 12 minit.