Sindiket tokan dadah terbongkar

Noor Janihan (tengah) menunjukkan sebahagian hasil rampasan dadah dalam satu operasi di Bestari Jaya.
Noor Janihan (tengah) menunjukkan sebahagian hasil rampasan dadah dalam satu operasi di Bestari Jaya.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Tangkapan seorang penganggur dalam satu operasi berjaya membongkar aktiviti pengedaran syabu dan heroin seorang tokan dadah di Bestari Jaya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Noor Janihan Nanyan berkata, tangkapan tokan dadah itu berjaya melumpuhkan sebahagian sindiket pengedaran dan jualan dadah di daerah ini.

"Sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor berjaya membuat tangkapan tiga lelaki dengan rampasan dadah berjumlah RM30,000.

"Mereka disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 sekali gus menjadikan tangkapan terbesar setakat tahun ini," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan IPD Kuala Selangor, pagi tadi.

Terdahulu katanya, hasil risikan dan maklumat orang ramai berjaya menangkap seorang lelaki berusia 24 tahun di Taman Cahaya, Bestari Jaya pada jam 7 malam, 26 Mac lalu.

"Tangkapan lelaki terbabit berjaya menemukan 61 gram dadah jenis heroin dan membawa tangkapan kedua pada jam 8.40 malam di Taman Sinaran, Bestari Jaya yang jaraknya tidak sampai 100 meter.

"Seorang lelaki berusia 34 tahun yang berada di dalam sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback ditahan dengan penemuan 90 gram dadah jenis heroin pada poket seluar kiri.

"Hasil siasatan membawa kepada penangkapan seorang lelaki yang berusia 21 tahun yang dipercayai tokan dadah di sebuah rumah dua tingkat di taman perumahan yang sama pada jam 8.45 malam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Noor Janihan berkata, hasil serbuan ke rumah itu berjaya merampas 906.9 gram heroin dan 235.7 gram syabu manakala ketiga lelaki yang ditangkap positif saringan ujian air kencing.

"Keseluruhan jumlah rampasan dadah jenis heroin sebanyak 1057.9 gram manakala syabu sebanyak 256.1 gram melibatkan nilai pasaran berjumlah RM30,000.

"Dari maklumat yang diterima, bekalan dadah yang dibawa masuk ke daerah ini dipercayai sindiket tempatan yang beroperasi sekitar Lembah Klang, Selangor," katanya.

Katanya, Mahkamah Majistret Kuala Selangor telah mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari terhadap ketiga-tiga suspek bagi membantu siasatan.