Sidang DUN: Projek LRT Bayan Lepas di peringkat proses prakelayakan

Zairil
Zairil
A
A
A

GEORGETOWN - Projek transit aliran ringan (LRT) Bayan Lepas kini dalam peringkat untuk memulakan proses prakelayakan mengenal pasti syarikat-syarikat yang berminat dan berkelayakan bagi komponen projek berkenaan.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, proses itu dijangka dilaksanakan pada suku kedua tahun ini disusuli proses Request For Proposal (RFP) dalam suku ketiga.

Menurutnya, kerajaan negeri akan mempelawa syarikat yang berminat dan berpengalaman untuk mengemukakan cadangan mereka.

"Kerajaan negeri akan melantik syarikat yang paling layak dan sesuai untuk melaksanakan komponen ini.

Selain cadangan dari segi teknikal, syarikat yang menyertai RFP juga dikehendaki mencadangkan model pembiayaan bagi melaksanakan komponen LRT.

"Sebagai contoh, pembida boleh mencadangkan kaedah pembayaran balik seperti hak pembangunan, pertukaran tanah, hasil pengiklanan dan pendapatan farebox (tambang)," katanya dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-14, pada Jumaat.

Zairil (DAP-Tanjung Bungah) berkata demikian ketika menjawab soalan A Kumaresan (PKR-Batu Uban) mengenai status terkini projek LRT Bayan Lepas.

Beliau menambah, selain menggunakan proses RFP untuk mendapatkan cadangan dan model pembiayaan, kerajaan negeri juga meneruskan usaha memohon peruntukan daripada kerajaan Persekutuan melalui 'Rolling Plan' Ke-3 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi membolehkan Pulau Pinang menjayakan projek itu dalam usaha mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

"Setakat ini, projek LRT Bayan Lepas mendapat kelulusan dari agensi-agensi teknikal utama antaranya Jabatan Alam Sekitar, PLANMalaysia dan kini sedang dalam proses mengemukakan laporan kajian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi jajaran LRT di atas Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).

"Ia termasuk depot LRT di Pulau A, PSR yang mana, depot ini merupakan komponen utama bagi LRT Bayan Lepas. Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan mengemukakan kelulusan muktamad bagi Skim Rel LRT Bayan Lepas selepas kelulusan EIA ini diperolehi," katanya.

Menjawab soalan tambahan Kumaresan mengenai tindakan kerajaan negeri sekiranya kerajaan Persekutuan menolak permohonan peruntukan projek berkenaan, Zairil berkata, kerajaan negeri tidak bergantung 100 peratus kepada permohonan tersebut.

“Kita sudah membuat permohonan pembiayaan tersebut sudah lama tapi belum dapat lagi, namun, perancangan kerajaan negeri tidak bergantung sepenuhnya kepada kerajaan Persekutuan.

"Oleh demikian, kerajaan negeri akan membuat RFP pada tahun ini yang mana kita menjemput syarikat-syarikat untuk mencadangkan model pembiayaan yang lain. Kerajaan negeri akan teruskan rancangan ini mengikut apa yang ada,” katanya.

PSR merupakan projek tiga pulau buatan manusia dengan berkeluasan 1,821 hektar dan ia sebagai perjanjian pertukaran tanah untuk membiayai cadangan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion.

Pada Jun 2019, Jabatan Alam Sekitar meluluskan projek PSR dengan 72 syarat kepada Kerajaan Pulau Pinang.

Projek mega bernilai berbilion ringgit itu merangkumi LRT, monorel dan tiga buah lebuh raya yang dijadualkan siap pada tahun 2050.