Darurat: Peguam gagal rujuk isu perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menolak permohonan seorang peguam untuk merujuk persoalan Perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan berhubung kuasa Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat.

Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali berkata, mahkamah menolak permohonan itu antaranya atas alasan Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar tidak memenuhi syarat undang-undang untuk berbuat demikian (merujuk persoalan Perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan).

"Mahkamah kemudian menetapkan 23 Jun ini untuk pengurusan kes," katanya ketika dihubungi selepas prosiding di hadapan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Saleh yang berlangsung secara sidang video.

Persoalan itu ialah sama ada Akta A514 yang meminda Perkara 150 dengan menambah Fasal (8) dan (9) melanggar Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah terbatal serta tidak sah.

Pada November 2020, Syed Iskandar memfailkan saman pemula terhadap Kerajaan Malaysia dan antara lain memohon mahkamah memutuskan sama ada berdasarkan Perkara 40 dan 150 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara untuk tidak mengisytiharkan darurat walaupun Perdana Menteri atau Kabinet menasihatkan sebaliknya.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir, tiga peguam dan lima pihak lain selepas permohonan mereka untuk menjadi pencelah dibenarkan oleh mahkamah.

Plaintif juga memohon mahkamah memutuskan sama ada Akta A514 yang meminda Perkara 150 dengan menambah Fasal (8) dan (9) melanggar Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah terbatal serta tidak sah.

Pada 25 Oktober 2020, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini selepas mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar serta tindakan penguatkuasaan bagi membendung penularan pandemik Covid-19.